RM500 setiap KIR mangsa banjir di Pahang

RM500 setiap KIR mangsa banjir di Pahang

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Kerajaan Pahang bersetuju memberi sumbangan wang tunai RM500 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau rumah saudara mara akibat bencana banjir pada Januari lalu.

   Sumbangan wang tunai RM500 turut diberikan kepada peniaga gerai dan rumah kedai yang turut terjejas berikutan bencana sama di seluruh negeri.

  Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jumlah keseluruhan peruntukan ialah RM9.4 juta membabitkan 18,726 KIR dan peniaga di seluruh Pahang.

  “Keputusan ini dibuat pada Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri yang saya pengerusikan pagi ini.

  “Mesyuarat MMK hari ini juga mengambil maklum Kerajaan Persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Perdana Menteri meluluskan peruntukan wang ihsan RM500 bagi setiap KIR yang keseluruhan berjumlah RM4.3 juta.

  “Sumbangan Kerajaan Persekutuan menerusi NADMA ini hanya meliputi kira-kira 8,600 KIR,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

   Selain itu, beliau berkata, kerajaan negeri menetapkan pemberian Bantuan Bayaran Sewa Rumah selama tiga bulan kepada KIR yang kehilangan rumah asal dan rumah tidak dapat diduduki akibat bencana itu.

  Katanya, seramai 27 KIR  bakal menerima bantuan itu manakala peruntukan disediakan bagi menampung kos sewaan rumah selama tempoh tiga bulan ialah RM16,800.

  “Sukacita juga saya maklumkan, Mesyuarat MMK Negeri hari ini turut bersetuju menyumbang sebuah komputer riba setiap seorang kepada penerima di bawah senarai Bantuan Kanak-kanak (BKK) Pahang yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

  “Saya berharap dengan bantuan kewangan serta peralatan yang saya umumkan hari ini, ia dapat meringankan beban ditanggung akibat bencana banjir serta masalah pembelajaran dalam tempoh mencabar menghadapi wabak pandemik COVID-19 ketika ini,” katanya.

t

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *