Penternak, petani rugi besar akibat banjir di Pahang

Penternak, petani rugi besar akibat banjir di Pahang

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar/video Mustafa Kamal

KUANTAN: Seramai 192 penternak di Pahang mengalami kerugian besar apabila sebanyak 20,617 ternakan mereka mati akibat musibah banjir yang melanda negeri ini, baru-baru ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani dan Bioteknologi Pahang, Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak berkata, secara keseluruhannya, seramai 577 penternak terjejas akibat bencana itu.

Katanya, kerugian lain bagi penternak berkenaan ialah sebanyak 74 kandang rosak membabitkan kerugian sebanyak RM331,000.

“Selain penternak, seramai 165 pengusaha ternakan ikan dianggarkan mengalami kerugian hampir RM4 juta disebabkan banjir. Penternak ini berada di hampir semua daerah kecuali Bentong dan Cameron Highlands. 

“Jabatan Perikanan (Pahang) sudah meneliti situasi ini dan mereka mencadangkan supaya bantuan sebanyak RM1.4 juta diberikan kepada penternak-penternak ikan ini,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta itu berkata demikian ketika ditemui selepas bersiaran secara langsung menerusi slot FBLive Sembang Petang Fikrah Pahang di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Mohd Soffi berkata, pihaknya juga sudah meminta semua agensi terbabit mengumpulkan data mengenai kerosakan dan kerugian akibat banjir dalam bidang pertanian dan mengemukakannya kepada jabatan masing-masing.

“Sektor pertanian juga mengalami kerugian besar apabila bukan sahaja banyak tanaman petani di Raub, Lipis, Maran, Temerloh dan Pekan rosak, malah banyak infrastruktur musnah disebabkan bencana banjir,” katanya.

Menurutnya, segala kerugian terbabit turut menyebabkan kenaikan harga barangan makanan antaranya daging, ayam, ikan dan sayur-sayuran bukan sahaja di negeri ini, malah di tempat-tempat lain.

“Akibat banjir, sumber bekalan makanan menjadi kurang dan ia turut menyebabkan kenaikan harga bukan sahaja di Pahang tetapi juga negeri lain. 

“Contohnya ikan sangkar dari negeri ini bukan sahaja dipasarkan di negeri ini tapi juga antaranya di Kuala Lumpur dan Pasar Borong Selayang,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *