Terima kasih MB prihatin terhadap nasib mangsa banjir

Terima kasih MB prihatin terhadap nasib mangsa banjir

KUANTAN: Mangsa banjir di negeri ini ternyata gembira dan bersyukur dengan keprihatinan Kerajaan Pahang, khususnya Menteri Besar, YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang telah memutuskan untuk memberikan bantuan tunai RM500 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas dengan bencana itu.

  Penduduk bandar Maran, Siti Nora Mohamad Noor, 42, berkata, bantuan yang disediakan itu adalah bukti jelas betapa prihatinnya kerajaan negeri di bawah kepemimpinan ‘Tok Wan’ (Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail) yang sentiasa mengambil berat masalah rakyat.

Mangsa banjir, Siti Nora Mohamad Noor.

  Menurutnya, hanya ucapan syukur dan terima kasih yang dapat diberikan pada Menteri Besar apabila tampil membuat keputusan untuk menyediakan bantuan wang tunai untuk setiap KIR mangsa banjir.

  “Bantuan RM500 sekurang-kurangnya dapat menampung kerugian dialami berikutan banjir besar bulan lalu yang menyebabkan banyak kerugian kepada mangsa bencana itu.

  “Saya mengalami kerugian lebih RM70,000 apabila bengkel makanan ringan dan rumah ditenggelami banjir tanpa diduga,” katanya.

  Selepas mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) kelmarin, Wan Rosdy mengumumkan kerajaan negeri telah memutuskan untuk memberikan bantuan tunai RM500 kepada setiap KIR yang terjejas dengan bencana itu.

  Menteri Besar berkata, semua penduduk yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan rumah saudara mara akibat banjir, Januari lalu, layak menerima bantuan berkenaan.

  Menurut Siti Nora, bukan jumlah bantuan yang menjadi ukuran tetapi keprihatinan kerajaan negeri membela nasib mangsa banjir yang kehilangan harta benda dalam sekelip mata adalah lebih penting.

  Bagi warga emas, Abdul Kadir  Awang Kechik, 73, yang menetap di Kampung Temai, Pekan, terlalu besar maknanya bantuan RM500 yang disediakan kerajaan negeri kepada mangsa banjir yang terjejas teruk apabila rumah ditenggelami banjir.

Mangsa banjir, Rabiah Bakar dari Kampung Temai, Pekan

  “Bantuan RM500 buat saya sebagai warga emas yang tidak memiliki pendapatan tetap terlalu besar, boleh beli barangan keperluan.

  “Menteri Besar Pahang ini saya lihat banyak membantu rakyat yang dalam kesusahan, keperitan hidup rakyat terutama mangsa banjir bulan lepas diberi perhatian,” katanya yang tidak menyangka akan menerima bantuan banjir.

  Katanya, banjir bulan lalu memaksa dia dan isteri, Rabiah Bakar, 74, menumpang di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Temai, selama lebih dua minggu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *