KDYMM Yang di-Pertuan Agong berkenan memasyhurkan Kuantan sebagai bandar raya, Ahad ini.

KDYMM Yang di-Pertuan Agong berkenan memasyhurkan Kuantan sebagai bandar raya, Ahad ini.

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Selepas beberapa kali tertangguh terutama akibat ‘penangan’ COVID-19, lusa (Ahad, 21 Februari 2021) masyarakat negara ini khususnya di Pahang bakal menyaksikan detik bersejarah apabila Kuantan secara rasminya dimasyhurkan sebagai bandar raya.

Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat mencemar duli ke Majlis Pemasyhuran Bandaraya Kuantan, di sini.

Katanya, keberangkatan baginda akan diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan turut berangkat sama, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah. 

“Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan hadir ditemani isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman. Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin juga dijangka hadir. 

“Majlis Pemasyhuran ini akan dilaksanakan menurut SOP (prosedur operasi standard) ketat demi membendung pandemik COVID-19. Oleh itu, jumlah jemputan khususnya, dihadkan bagi memastikan pelaksanaan aspek penjarakan fizikal,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. 

Beliau berkata, Majlis Pemasyhuran Bandaraya Kuantan dilaksanakan susulan kelulusan oleh Kerajaan Persekutuan menerusi mesyuarat Kabinet pada 8 Mei 2019. 

“Mungkin ramai dalam kalangan penduduk Kuantan dan Pahang, tidak sedar tentang adanya Majlis Pemasyhuran ini kerana ia sengaja tidak diuar-uarkan seperti yang sepatutnya, memandangkan situasi COVID-19 sekarang. 

“Pemilihan tarikh 21 Februari ini juga adalah selepas beberapa kali ditunda ekoran pertimbangan serupa,” ujarnya. 

Sehubungan itu, beliau berharap penduduk Kuantan dan negeri Pahang dapat sama-sama berbangga dengan hari bersejarah sempena Majlis Pemasyhuran Bandaraya Kuantan meskipun diadakan dalam skala sederhana.

Untuk rekod, kali terakhir majlis seumpama itu diadakan ialah pada 1 September 1979, lebih 40 tahun lepas iaitu sempena kenaikan taraf Kuantan daripada status bandar kepada perbandaran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *