Pemaju perumahan perlu sediakan alat pemadam api di rumah baru dibina

Pemaju perumahan perlu sediakan alat pemadam api di rumah baru dibina

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Pemaju projek perumahan baharu di negara ini perlu menyediakan alat pemadam api di setiap unit kediaman yang dibangunkan, bermula tahun ini.   

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, langkah itu penting sebagai persediaan awal seandainya berlaku kejadian kebakaran. 

Beliau berkata, setiap rumah di negara ini perlu memiliki sekurang-kurangnya satu unit pemadam api sebagai persediaan awal jika berlakunya kejadian kebakaran.

“Bagaimanapun, kebanyakan pemilik kediaman masih tidak menyedari kepentingan menyimpan alat pemadam api di kediaman masing-masing. 

“Sehubungan itu, KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) menyasarkan supaya semua pemaju projek perumahan baharu perlu menyediakan alat pemadam api bagi unit kediaman mereka bina mulai tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Alat Pemadam Api di Taman Perumahan Rakyat Makmur, Gambang Jaya 2, dekat sini, hari ini. 

Menurutnya, KPKT dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan melancarkan kempen 1 Rumah 1 Pemadam Api (1RAPI) bulan depan.

Katanya, objektif utama kempen berkenaan adalah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai keperluan dan kepentingan memiliki alat pemadam api sekali gus menjadi ‘pelindung’ pertama sekiranya berlaku kebakaran di rumah masing-masing.

Mengulas projek Rumah Malaysia di Pahang, Zuraida berkata, pihak kementerian sudah mengenal pasti lokasi di Lanchang, dekat Temerloh yang sesuai untuk dilaksanakan pembinaan projek berkenaan. 

“Kita akan perhalusi dulu perkara ini dan perbincangan lanjut bersama Menteri Besar (Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail) akan diadakan tidak lama lagi,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *