MUIP bantu ringan beban 200 tukang gunting rambut di Pahang

MUIP bantu ringan beban 200 tukang gunting rambut di Pahang

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) memberi bantuan keperluan asas kepada 200 pemilik serta pekerja kedai gunting rambut di negeri ini yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

  Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, peruntukan sebanyak RM10,000 disediakan bagi membantu golongan terbabit yang hilang sumber pendapatan apabila premis perniagaan mereka tidak dapat beroperasi.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman (kiri) menyerahkan bantuan keperluan asas kepada Mohd Nordin Mohd Yusof bagi pihak pengusaha dan pekerja kedai gunting rambut.

  Menurutnya, bantuan keperluan asas yang diberikan diharapkan dapat meringankan beban ditanggung terutama membabitkan golongan pekerja di sektor berkenaan yang bergantung sepenuhnya pada satu pekerja sahaja.

  “Bagi golongan yang dikategorikan sebagai hilang sumber pendapatan untuk menyara keluarga, mereka boleh membuat permohonan bantuan am daripada MUIP dan layak menerima bantuan kewangan setiap bulan hingga suatu masa ditetapkan.

Beras antara bantuan keperluan asas diberikan kepada pengusaha dan pekerja kedai gunting rambut di Pahang.

  “Bantuan am terbabit disediakan kepada golongan yang terkesan dengan PKP tanpa mengira mereka sebelum ini bekerja dalam apa juga sektor dan sekiranya layak MUIP akan sediakan bantuan terbabit,” katanya.

  Beliau berkata demikian selepas menyerahkan bantuan keperluan asas kepada Setiausaha Persatuan Pengunting Bersatu Malaysia cawangan Pahang, Mohd Nordin Mohd Yusof, di sini.

KUANTAN..bantuan keperluan asas diberikan kepada pengusaha dan pekerja kedai gunting rambut di Pahang.

  Bantuan fasa pertama diagihkan kepada lebih 80 pengusaha dan pekerja kedai guntung di daerah ini, Pekan dan Temerloh. Fasa kedua bantuan akan diberikan dalam masa terdekat.

  Dr Asmadi berkata, difahamkan terdapat premis gunting rambut di beberapa daerah terpaksa gulung tikar terutama apabila tidak dapat beroperasi dalam jangka masa yang panjang berikutan PKP.

  “Tekanan yang lebih dirasai oleh golongan pekerja gunting rambut, selepas duit simpanan habis mereka kini terdesak hingga memaksa meminjam dengan rakan bagi menyara keluarga,” katanya.

  Bagi Mohd Nordin, bantuan yang disediakan MUIP dapat meringankan yang ditanggung pengusaha dan pekerja kedai gunting rambut di negeri ini terutama selepas tidak dapat bekerja.

  “Saya bagi pihak pengusaha dan pekerja kedai gunting rambut mengucapkan terima kasih kepada MUIP yang prihatin dengan nasib kami yang begitu terkesan berikutan PKP,” katanya yang memiliki premis di Kompleks Makmur, di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *