Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
Gambar/video Mustafa Kamal
KUANTAN: Buka seluas-luasnya peluang pekerjaan atau perniagaan untuk orang muda, seiring dengan kemajuan Kuantan yang kini bergelar bandar raya.
Itu pandangan dan harapan sebilangan anak muda di bandar raya pertama di Pahang ini. Rata-rata yang ditemui Fikrah Pahang juga mendoakan kesejahteraan dan kemakmuran berpanjangan buat ibu negeri ini.
Jurujual di kedai aksesori telefon, Muhammad Esmail Eizham Abdul Mutalib, 23, berkata sebagai anak jati Kuantan, dia amat berbangga apabila ia dinaik taraf menjadi bandar raya dan berharap kemajuan dapat dikecap serta dinikmati orang ramai.

Bagi penyelia di tapak pembinaan, Muhammad Anif Syazmi Faizuman, 22, dia ingin melihat lebih banyak bangunan dibina sekali gus boleh merancakkan ekonomi bandar raya ini dan Pahang secara amnya.

Nurul Hazwani Hairudin, 22, pula berpendapat, pihak berkuasa perlu memperbaiki dan menaik taraf kemudahan di sekitar bandar raya ini.
“Kalau ada jalan berlubang tu contohnya, segeralah diperbaiki, barulah sesuai digelar bandar raya,” katanya yang berasal dari Kampung Permatang Badak.

Rakannya, Nur Syasya Ahmad Fauzi, juga berusia 22 tahun, berharap lebih banyak ruang dan peluang perniagaan disediakan secara lebih teratur.

Pandangan Nur Syasya turut dikongsi jurujual barangan kraftangan di Teluk Cempedak Muhammad Luqman Hakim Aminullah, 22.

“Apabila dah naik status bandar raya, saya harap buka peluang kerja dan perniagaan untuk orang muda, lebih-lebih lagi sekarang ini zaman COVID-19, ramai yang memerlukan peluang,” katanya yang berasal dari Rompin.