Pelancong dah boleh datang tengok gajah di PKGK Kuala Gandah

Pelancong dah boleh datang tengok gajah di PKGK Kuala Gandah

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

TEMERLOH: Tujuh pelancong tempatan menjadi kumpulan pengunjung pertama ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang, di sini, yang mula dibuka semalam selepas ditutup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 lalu.

Pelancong yang berkunjung ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang,
berpeluang melihat gajah mandi di sungai.

  Ketua PKGK Kuala Gandah, Muhammad Khairul Adha Mat Amin berkata, pengunjung terbabit berpeluang melihat pelbagai aktiviti gajah selain pameran berkaitan haiwan liar berkenaan  di negara ini.

  Menurutnya, kini terdapat 31 gajah dewasa dan anak gajah di PKGK Kuala Gandah yang merupakan tarikan utama pelancong tempatan dan antarabangsa untuk datang sepanjang tahun.

Pelancong yang berkunjung ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah Lanchang
memberi makan kepada gajah.

  Namun katanya, sejak PKP 2.0 dikuatkuasakan, PKGK Kuala Gandah ditutup sementara kepada pengunjung bagi mengelak berlakunya penularan wabak COVID-19 dan semalam merupakan hari pertama ia dibuka tahun ini.

  “Kita mengalu-alukan kedatangan pelancong ke PKGK Kuala Gandah dalam usaha merancakan lagi sektor pelancongan di negeri ini terutama selepas terjejas teruk disebabkan wabak COVID-19 melanda negara ini.

Pelancong yang berkunjung ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah Lanchang
melihat pameran gajah.

  “Prosedur operasi standard (SOP) diberi keutamaan sebelum dan semasa pelancong berada dalam kawasan PKGK Kuala Gandah, di mana kita perlu mengikut semua peraturan ditetapkan kerajaan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya, di hubungi di sini semalam.

Pelancong yang berkunjung ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah Lanchang
melihat persembahan  gajah.

  Beliau berkata, tarikan utama PKGK Kuala Gandah ialah pengunjung diberi peluang memberi gajah makanan seperti buah, kacang dan tebu, selain melihat haiwan berkenaan mandi di sungai yang terdapat kawasan pusat berkenaan.

  Muhammad Khairul Adha berkata, setiap petang turut diadakan persembahan beberapa gajah dewasa bersama gembala atau mahut berpengalaman.

  “Saya berharap pelancong tempatan tidak melepaskan peluang untuk datang bersama keluarga ke PKGK Kuala Gandah untuk melihat gelagat gajah yang menjadi kebanggaan negeri ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *