Program Vaksinasi COVID-19 jadi talian hayat sektor pelancongan

Program Vaksinasi COVID-19 jadi talian hayat sektor pelancongan

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar/video Mustafa Kamal

KUANTAN: Pemulihan sektor pelancongan yang kini merudum di negeri ini dan Malaysia secara amnya, amat bergantung kepada kejayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, YB Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, ini kerana, untuk menggalakkan pelancong datang, mereka perlu diyakinkan bahawa negara kita bebas COVID-19 sepenuhnya.

“Di Pahang contohnya, untuk beri keyakinan kepada orang ramai datang, kita perlu tunjukkan bahawa kita sudah bebas COVID-19 dan keyakinan ini akan datang apabila sebahagian besar daripada kita sudah divaksinasi.

“Di dunia ini pun, begitulah… tempat yang segera pulih dan bebas COVID-19, akan dilawati dahulu. Tapi pada masa sama, kita nak pastikan juga pelancong ke tempat kita ini bebas daripada COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas bersiaran secara langsung menerusi slot FBLive Sembang Petang Fikrah Pahang di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Mohd Sharkar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang berkata, Pahang kehilangan hampir 50 peratus kedatangan pelancong sepanjang Januari hingga September tahun lalu, berbanding catatan 10 juta pelancong bagi tempoh sama tahun sebelumnya disebabkan pandemik COVID-19.  

Katanya, keadaan ini menyebabkan sektor perhotelan yang mempunyai 38,000 bilik secara keseluruhannya di negeri ini, hanya mampu menjana pendapatan tidak sampai separuh daripada sepatutnya.

“Itu baru hotel, belum masuk motel, chalet dan inap desa lagi,” katanya.

Menurutnya, selain program vaksinasi, beberapa kaedah lain boleh diambil untuk merancakkan kembali sektor pelancongan.

“Sekarang ini pun sudah ada negara atau tempat yang disahkan berada dalam kawasan hijau dibenarkan ke negara yang juga zon hijau dan kita juga boleh ambil langkah sebegini untuk pelancongan domestik yang mana mungkin boleh benarkan kunjungan pelancong dari daerah hijau ke daerah hijau lain.

“Satu lagi kita ambil contoh di New Zealand, walaupun tanpa program vaksinasi, mereka boleh merentas daerah dan negeri sebab rakyat mereka berdisiplin dan ikut SOP (prosedur operasi standard),” katanya.   

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *