JPNP buka semula 15 TER untuk pelancong

JPNP buka semula 15 TER untuk pelancong

Oleh Mohd Imran Izzad  fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Aktiviti pelancongan di negeri ini dijangka kembali rancak semula apabila 15 Taman Eko Rimba (TER) di bawah seliaan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) kini dibuka kepada pengunjung.

Taman Eko Rimba (TER) Sungai Pandan, dekat Kuantan, kini dibuka semula kepada pengunjung.

  Terkenal dengan keluasan hutan, selain bentuk muka bumi yang berbukit serta anak sungai, Pahang memiliki 26 TER di seluruh negeri.

  Menurut Penolong Pengarah Kanan (Hutan Lipur) JPNP, Regina Mariah Jong, sebelum ini JPNP bertindak menutup semua 26 TER di negeri ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), selepas mendapat arahan kerajaan negeri yang bimbang berlaku  penularan wabak COVID-19.

  Namun kini katanya, sebanyak 15 TER dibuka semula kepada pengunjung termasuk TER Chamang dan TER Lentang di Bentong; TER Mossy Forest, Cameron Highlands; Taman Negeri Rompin; TER Kenong, Lipis serta TER Sungai Pandan, di sini.

  Katanya, walaupun penutupan TER menyebabkan JPNP kehilangan sumber pendapatan menerusi caj bayaran masuk, namun demi kebaikan bersama keputusan berkenaan perlu dibuat secara drastik.

 “Kapasiti pengunjung yang dibenarkan berada dalam TER ialah 50 peratus sahaja dan mereka perlu mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan JPNP sepanjang berada dalam TER.

  “Kakitangan yang bertugas di pintu masuk TER akan merekodkan suhu badan dan mencatat maklumat pengunjung,” katanya dihubungi di sini, hari ini.

  Beliau berkata, JPNP berharap  masyarakat setempat  mengambil kesempatan pembukaan TER untuk datang berehat bersama keluarga selepas sekian lama tidak dapat bercuti sambil beriadah.

  Regina Mariah menambah, pihaknya kini sedang berusaha menyediakan peruntukan untuk membaiki kerosakan serta menyediakan kemudahan di TER Lubuk Yu yang musnah dilanda banjir besar bulan lalu.

  Katanya, banyak kemudahan seperti tandas, bilik persalinan, pejabat dan pondok rehat termasuk jalan musnah dibawa arus deras banjir selepas berlaku hujan lebat tanpa henti selama beberapa jam.

  “Peminat aktiviti pendakian, permotoran lasak dan menjejak bunga Rafflesia terletak dalam hutan simpan kekal di negeri ini turut dibenarkan untuk meneruskan kegiatan terbabit, namun mereka terlebih dahulu perlu mendapatkan premit  memasuki hutan simpan.

  “Bagi yang melakukan aktiviti pendakian dan jelajah dalam hutan mereka perlu mendapatkan khidmat malim gunung yang berdaftar bagi mengelak berlaku kejadian sesat di dalam hutan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *