Kerajaan Pahang istiqamah pelihara perpaduan ummah: Syed Ibra

Kerajaan Pahang istiqamah pelihara perpaduan ummah: Syed Ibra

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang istiqamah dalam memelihara perpaduan ummah yang terjalin dan bercambah sejak 2019 di Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, malah YAB Menteri Besar, Dato’Sri Wan Rosdy Wan Ismail sendiri menjadikan kemashalatan agama sebagai agenda tertinggi Kerajaan Pahang.

“Pun begitu, beliau (Wan Rosdy) yakin, tanpa perpaduan ummah, sukar untuk Islam dijunjung tinggi. Sebaliknya melalui kesepakanlah kerajaan negeri bangkit meneruskan agenda agama dan banyak enakmen dan RUU (rang undang-undang) berkaitan Islam dapat kita perkasakan dari semasa ke semasa.

“Begitu juga institusi diraja yang menjadi penaung kepada negeri dan negara, lambang kedaulatan agama serta anak bangsa perlu dipertahankan. Namun, adakah boleh kita mengukuhkan dan kekal berdaulat seandainya kita berpecah-belah. 

“Maka YAB Menteri Besar menjadikan agenda muafakat ummah sebagai wadah penyatuan dan sentiasa menghulur tangan murni kepada semua pihak demi memastikan institusi ini dapat kita pertahankan,” katanya dalam laman Facebook hari ini.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Pahang berkata, soal pendidikan juga perlu digalas dengan bersunguh-sungguh sekali gus memastikan genarasi baru dapat dibangunkan dengan modal insan yang tinggi. 

“YAB Dato Sri Wan Rosdy telah memperkenalkan pelbagai skim dan jumlah peruntukan berpandangan lebih jauh dari itu. 

“Wang ringgit tidak memadai untuk memastikan pendidikan anak-anak kita dapat dibina, bahkan kesepakatan dan kombinasi orang ramai, NGO (badan bukan kerajaan), parti politik wajar diasah terus dan tidak dinodai oleh pihak yang cemburu kepada agenda pendidikan kita.

“Tidak wajar kita nodai masa depan anak-anak kita semata-mata mengikut nafsu perbezaan dan persengketaan,” katanya.

Dato’ Sri Wan Rosdy (kiri) menerima sumbangan 10,000 naskhah al-Quran untuk mangsa banjir daripada ADUN Beserah, Adansura Rabu di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini. – Gambar ihsan FB Wan Rosdy bin Wan Ismail

Beliau menambah, agenda memulih rakyat susah dan fakir miskin juga menjadi misi penting Kerajaan Pahang.

“Masyarakat di kampung, taman, felda, bahkan di bandar masih banyak perlu dibantu, bagaimana untuk mengeluarkan kemelut kepayahan dalam kehidupan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau itu berkata, melalui semangat kesepakatan inilah, setiap kali terdapat agenda menjurus kepada perpaduan dan ukhwah, YAB Menteri Besar Pahang dengan hati terbuka dan jiwa lapang, bersunguh-sungguh bersama dengan kepimpinan merealisasikanya. 

“YAB (Menteri Besar) juga hari ini bersama ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Beserah, Andansura Rabu (PAS) menerima sumbangan al-Quran dari Man Care atau Iman And Humanity Is Our Respondibility. Semoga kebersamaan ini beroleh keberkatan daripada Allah SWT dan tidak ternoda oleh hasutan pihak yang rakus dan cuba merosakkannya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *