Pahang terima penghantaran pertama 23,400 dos vaksin Pfizer hari ini

Pahang terima penghantaran pertama 23,400 dos vaksin Pfizer hari ini

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar/video Mustafa Kamal

KUANTAN: Penghantaran pertama bagi Fasa 1 sebanyak 23,400 dos vaksin keluaran Pfizer bagi negeri ini tiba di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, kira-kira 1.15 tengah hari tadi. 

Menteri Besar, YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, vaksin fasa 1 itu adalah untuk petugas barisan hadapan, termasuk beliau sendiri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang akan menerima suntikan vaksin, Jumaat ini.

“Kita ada enam fasa penghantaran vaksin secara keseluruhannya dan hari ini, kita terima ‘shipment’ (penghantaran) pertama. 

“Sebanyak 9,360 dos disimpan di HTAA, Hospital Lipis (4,680 dos); Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh (4,680 dos); Hospital Rompin (3,510 dos) dan Hospital Bentong (1,170 dos),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyambut ketibaan ketibaan vaksin fasa pertama di HTAA, hari ini.

Menurutnya, vaksin berkenaan akan diberikan kepada 11,700 petugas barisan hadapan dan setiap seorang menerima dua dos dalam jarak masa antara 21 hari dan tiga minggu selepas suntikan dos pertama.

“Jumlah keseluruhan penghantaran vaksin bagi  32,175 petugas barisan hadapan ialah sebanyak 64,350 dos,” katanya.

Beliau berkata, keutamaan fasa kedua suntikan vaksin COVID-19 akan diberikan kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas dan mengalami masalah penyakit kronik.

“Sekarang ini keutamaan kita ialah mengenai aspek keselamatan untuk memastikan proses penyimpanan dos vaksin ini di tempat sesuai dan selamat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *