S-GLC negeri digesa bantu isi tabung YTC UCYP

S-GLC negeri digesa bantu isi tabung YTC UCYP

Oleh Mohd Imran Izad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Syarikat berkaitan kerajaan negeri (S-GLC) Pahang diharap tampil menghulurkan sumbangan bagi mengisi tabung Yayasan Tuanku Canselor (YTC) University College of Yayasan Pahang (UCYP).

Pengarah YTC UCYP, Ahmad Fared Mohd Din (kiri) menerima sumbangan daripada
kakitangan University College of Yayasan Pahang (UCYP) pada Majlis Pelancaran Bulan Infaq YTC UCYP 2021.

  Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Dr Haji Zulkifli Ali berkata, sokongan kuat yang diberikan GLC negeri berupaya menghasilkan lebih banyak sumber kewangan YTC yang boleh digunakan untuk membantu pelajar UCYP daripada golongan kurang berkemampuan.

  Menurutnya, kerjasama erat golongan korporat dan individu yang bermurah hati untuk memberi sumbangan dapat melancarkan objektif sebenar penubuhan YTC.

  “Saya yakin sokongan semua pihak terutama GLC negeri ini dan golongan korporat dapat menghasilkan dana simpanan kewangan yang lebih besar secara berterusan demi kepentingan pelajar yang sedang melanjutkan pengajian di UCYP.

Kakitangan 
University College of Yayasan Pahang (UCYP) sedang mengimbas kod bar pada Majlis Pelancaran Bulan Infaq YTC UCYP 2021.

 “Saya difahamkan telah ramai pelajar UCYP menerima bantuan daripada tabung YTC dalam bentuk kewangan, makanan dan peralatan sejak ia ditubuhkan pada Disember tahun lalu,” katanya.

  Beliau berkata demikian ketika mewakili Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad pada Majlis Pelancaran Bulan Infaq YTC UCYP 2021 di Blok Akademik Kampus Utama UCYP, di sini, semalam.

  Hadir sama, Naib Canselor UCYP, Profesor Emeritus Dato’ Dr Ahmad Zainuddin; Timbalan Naib Canselor (Pembangunan Pelajar dan Hubungan Masyarakat) UCYP; Profesor Dr Azhar Jaafar@Ramli dan Pengarah YTC UCYP, Ahmad Fared Mohd Din.

  Dr Zulkifli menambah, sumbangan atau derma diberikan oleh pihak yang bermurah hati untuk kegunaan golongan memerlukan  merupakan saham di akhirat dan mereka yang berkemampuan perlu merebut saham yang dijanjikan Allah itu.

  Sementara itu, Dr Ahmad berkata, tahun lalu YTC berjaya mengumpul dana lebih RM141,000 dalam bentuk tunai dan barangan dan ia digunakan bagi menyalurkan bantuan kepada pelajar golongan B40 termasuk golongan asnaf.

  “Seramai 375 pelajar UCYP tahun lalu menerima manfaat YTC yang antara lain, ia digunakan untuk membayar yuran pengajian, yuran asrama, bantuan awal belajar seperti membeli komputer riba,” katanya yang berharap lebih ramai lagi pihak menyumbang untuk tabung YTC.

  Tabung UTC hasil ilham KDYMM Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang juga Canselor UCYP.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *