Kasih Kerajaan Negeri Pahang tiada batasan kaum dan agama

Kasih Kerajaan Negeri Pahang tiada batasan kaum dan agama

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar/video Zulkepli Osman

KUANTAN: Kasih dan keprihatinan Kerajaan Negeri Pahang bukan hanya mutlak kepada satu bangsa, tetapi turut ‘dicurahkan’ kepada kaum-kaum lain, demikian kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Bagi merealisasikannya, beliau berkata kerajaan negeri hari ini memberikan sumbangan kepada golongan memerlukan daripada kalangan masyarakat Cina, Orang Asli dan Melayu di Sungai Lembing, dekat sini.

“Saya bersama rakan-rakan dari JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), JAIP (Jabatan Agama Islam Pahang), MUIP (Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang) dan beberapa agensi serta NGO (badan bukan kerajaan) hari ini berasa amat bersyukur kerana dapat menghulurkan sumbangan sempena Tahun Baharu Cina 2021.

“Seramai 50 ketua keluarga terdiri daripada masyarakat Cina saudara baru dan bukan saudara baru yang memerlukan bantuan diberi sumbangan ini. Sumbangan turut diberikan kepada 30 keluarga Orang Asli dan Melayu (20 keluarga),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Fikrah Pahang selepas menghadiri majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Saudara Baru 2021 yang dirasmikan serentak menerusi sidang video bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Dewan Orang Ramai Sungai Lembing, dekat sini, hari ini. 

Hadir sama, Pengarah JAIP, Dato’ Dr Zulkifle Ali Al-Hafiz dan Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Dato’ Ahmad Hairi Bin Hussain.

Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata, hubungan antara semua kaum di negara ini perlu sentiasa dijaga dan masing-masing boleh memainkan peranan untuk keharmonian negara.

“Contohnya, masyarakat Cina yang diketahui pandai berniaga tapi jika tidak disokong oleh kuasa beli masyarakat lain, tidak berguna juga. Begitu juga dengan kaum lain yang masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *