Tapir sesat terperangkap dalam longkang lebih lima jam

Tapir sesat terperangkap dalam longkang lebih lima jam

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Seekor tapir seberat 300 kilogram (kg) menanggung derita selama lima jam selepas terperangkap dalam longkang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Soi, dekat sini, sebelum diselamatkan sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), tengah hari tadi.

Usaha mengeluarkan seekor tapir yang terjatuh ke dalam longkang di SMK Sungai Soi dekat kuantan ..Gambar Ihsan APM

Dalam kejadian itu, seorang pegawai bersama enam anggota APM dihantar ke lokasi kejadian bagi tujuan menyelamatkan tapir yang dipercayai tersesat itu. 

Pegawai APM Kuantan, Kapten (PA) Zaubidah Said berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 12 tengah hari dan berusaha selama 30 minit untuk mengeluarkan tapir berkenaan, namun tidak berjaya disebabkan berat haiwan itu yang hampir mencecah 300 kg. 

“Berikutan itu, anggota terbabit kemudiannya menghubungi PERHILITAN (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) untuk mendapatkan bantuan.

“Operasi itu akhirnya berjaya selepas hampir lima jam pihak APM dan PERHILITAN berusaha mengeluarkan haiwan berkenaan daripada longkang sekolah terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini, hari ini. 

Sementara itu, Pengarah PERHILITAN Pahang, Rozidan Md Yasin berkata, tapir yang diselamatkan itu tidak mengalami kecederaan serius walaupun terjatuh dan terperangkap dalam longkang sekolah berkenaan. 

“Pihak PERHILITAN akan merawat kesan luka pada beberapa bahagian badan haiwan itu sebelum dilepaskan semula di habitat asal sejurus haiwan itu pulih daripada kecederaan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *