Dua juta pokok balak ditanam di seluruh Pahang tahun ini

Dua juta pokok balak ditanam di seluruh Pahang tahun ini

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Dua juta pokok balak pelbagai spesies akan ditanam tahun ini dalam usaha menambah pendapatan kerajaan negeri dalam tempoh jangkamasa panjang.

  Jumlah berkenaan bertambah berbanding 1.2 juta yang ditanam sepanjang tahun lalu dan projek tanaman berkenaan membabitkan semua daerah di negeri ini.

Program gotong-royong menanam pokok balak di kawasan Tasik Chini.

  Timbalan Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang

(JPNP), Datuk Samsu Anuar Nawi berkata, aktiviti menanam pokok dijalankan sepanjang tahun yang dilakukan Bahagian Pembangunan Hutan JPNP membabitkan silvikultur timur dan barat.

  Menurutnya, selain tanaman pesisir pantai, projek utama yang diusahakan membabitkan tanaman kawasan hutan yang diceroboh, bekas lesen pembalakan, tapak matau atau tempat menyimpan balak dan petak pemuliharaan.

Kanak-kanak turut sama menyertai program menanam pokok pesisir pantai di Pantai Rantau Panjang, Rompin.

  Katanya, setiap tahun pihaknya mengadakan program menghijaukan kawasan pusat pelancongan termasuk di sekolah menerusi aktiviti tanggungjawab sosial dengan kerjasama agensi kerajaan, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan pusat pengajian tinggi.

  “Antara program berskala besar diadakan tahun lalu ialah aktiviti penanaman spesies

balak di beberapa kawasan seperti di Hutan Simpan Chini, Pekan dan Hutan Simpan Berkelah, Maran.

  “Usaha memulihkan bekas kawasan kebun sayur dan bunga haram di Hutan Simpan Sungai Ichat, Cameron Highlands, turut dilakukan sebelum ini dan hasilnya kini amat membanggakan apabila pokok spesies damar minyak, meranti rampai daun, merawan siput jantan dan geruk kini hidup subur,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

  Beliau berkata, tahun lalu JPNP turut terbabit dengan Op Bertam membabitkan aktiviti menanam di kawasan yang diceroboh di sepanjang laluan di Lembah Bertam.

  Samsu Anuar berkata, program menanam pokok diadakan setiap tahun yang dilakukan secara gotong-royong selain melalui kontraktor dilantik. JPNP akan memantau semua projek bagi memastikan kejayaannya.

  “Program penanaman pokok ru, ketapang, bintangor laut dan kelapa turut dilakukan di pesisir pantai di daerah ini dan Rompin. Ia bertujuan mengurangkan hakisan selain sebagai peneduh.

  “Aktiviti menanam dilakukan sepanjang tahun yang turut disertai pelbagai pihak dan antara kawasan tanaman ialah di pesisir Pantai Sepat, Pantai Sungai Ular, Pantai Anak Air, Pantai Bernas dan Pantai Cempaka,” katanya.

  Sementara itu Penolong Pengarah Silvikultur (Zon Pahang Timur I), Nurfazliza Kamarulbahrin berkata,  program menanam pokok terbaharu diadakan di pesisir Pantai Rantau Panjang, Rompin, membabitkan sebanyak 2,500 pokok ru dan ketapang.

  “Program diadakan secara gotong-royong membabitkan penduduk setempat dan kakitangan JPNP,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *