Isteri cubit lagi sakit…

Isteri cubit lagi sakit…

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar/video Zulkepli Osman dan Mustafa Kamal

KUANTAN: “Kalau isteri kita cubit lagi sakit,” demikian seloroh Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail ketika ditanya sama ada beliau berasa sakit atau tidak ketika menerima suntikan vaksin COVID-19 keluaran keluaran Pfizer, hari ini.

Beliau yang menjadi individu pertama di negeri ini menerima vaksinasi, mengetuai 115 terdiri daripada petugas barisan hadapan diberikan suntikan vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Negeri Pahang yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini.

Katanya, kerajaan negeri menyasarkan seramai 1.2 juta daripada hampir 1.7 juta atau 70 peratus daripada rakyat Pahang mendapat suntikan vaksin menjelang Februari tahun depan.

“Kita jangka Februari tahun depan boleh selesai semua, tapi bergantung kepada tarikh bila vaksin sampai… kalau lagi cepat selesai lagi bagus,” katanya dalam sidang media selepas Program Imunisasi COVID-19 Negeri Pahang.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman; Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak dan Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Bahari Awang Ngah.

Dalam perkembangan sama, Wan Rosdy memberi amaran kepada golongan anti-vaksin supaya tidak menyebarkan kenyataan mengelirukan mengenai suntikan vaksin COVID-19.

“Sesiapa yang menghasut orang ramai supaya tidak ambil vaksin boleh didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan mereka boleh dikenakan denda atau dihukum penjara maksimum dua tahun.

“Walaupun tiada paksaan, tetapi saya dengar ada negara yang hanya benarkan individu yang ambil vaksin dan tunjuk bukti mereka ambil vaksin masuk ke negara mereka sekali gus menyukarkan sesiapa ingin keluar negara untuk melancong atau bekerja,” katanya. 

Penghantaran fasa pertama bagi Fasa 1 sebanyak 23,400 dos vaksin keluaran Pfizer bagi negeri ini tiba di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, Rabu lalu. 

Sebanyak 9,360 dos disimpan di HTAA, Hospital Lipis (4,680 dos); Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh (4,680 dos); Hospital Rompin (3,510 dos) dan Hospital Bentong (1,170 dos).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *