Moh kita pakat bantu kucing jalanan, terbiar

Moh kita pakat bantu kucing jalanan, terbiar

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic/video Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: “Saya pernah merawat seekor kucing jantan yang mungkin dilanggar kenderaan, pinggangnya patah menyebabkan haiwan berkenaan tidak mampu berjalan sebaliknya hanya mampu mengengsot untuk bergerak.

Roziah Talib (kiri) dan Jurina Abdul Rani merawat kucing jalanan yang cedera di pusat jagaan Kelab Sahabat Kucing Jalanan Pahang (SKJP) di Kuantan.

  “Sedih melihat penderitaan kucing berkenaan dan saya mengambil keputusan merawatnya di pusat jagaan kami,” kata Roziah Talib, 50.

  Beliau merupakan ahli jawatankuasa Kelab Sahabat Kucing Jalanan Pahang (SKJP) yang terbabit dengan aktiviti 

memberi pertolongan kepada kucing jalanan yang cedera kerana terbabit dengan kemalangan selain merawat haiwan yang menghidap pelbagai penyakit.

  Aktiviti lain dilakukan kelab yang mempunyai 120 ahli itu termasuk memberi makan kepada kucing dan anjing jalanan serta mengagihkan bekalan makanan kepada pihak berkaitan untuk diberikan kepada haiwan manja terbabit sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ahli Kelab Sahabat Kucing Jalanan Pahang (SKJP) merawat dan menjaga kucing jalanan.

  Menurut Roziah, sebelum ini beliau turut menyelamatkan seekor kucing yang patah rahang dan buta disebabkan kemalangan di mana haiwan itu kini ditempatkan di rumahnya bagi memastikan kebajikannya sentiasa terjaga.

  Katanya, kini ada sebanyak 18 ekor kucing jalanan yang mengalami masalah kesihatan ditempatkan di pusat jagaan sementara kelab SKJP bagi mendapatkan rawatan dan haiwan yang mengalami kecederaan serius akan dihantar ke klinik haiwan.

  Pengerusi kelab SKJP, Jurina Abdul Rani, 49, berkata pihaknya menyediakan perbelanjaan lebih RM5,000 sebulan sumbangan penderma  untuk merawat  dan menyediakan makanan kepada kucing jalanan di daerah ini.

  Katanya, sepanjang cuti persekolahan kali ini pihaknya mengagihkan makanan kucing kepada pengawal keselamatan di 12 sekolah di daerah ini untuk diberikan kepada kucing jalanan di sekolah terbabit dan setiap minggu satu hingga dua kilogram makanan jenis palet jenama terkenal diberikan berikutan kantin sekolah tidak beroperasi.

   “Kelab bergantung sepenuhnya sumbangan penderma untuk menjalankan apa juga aktiviti, selain itu ahli juga turut menyediakan tabung terutama untuk membeli makanan dan rawatan pada kucing.

  “Kos rawatan kucing di klinik haiwan agak tinggi bergantung pada kecederaan. Pernah berlaku bayaran RM1,200 dibelanjakan bagi seekor kucing,” katanya yang turut memiliki kedai kucing di Indera Mahkota, di sini.

  Katanya, kelab SKJP juga mempunyai cawangan di beberapa daerah seperti Pekan, Maran, Rompin, Maran dan Bentong.

 Jurina berkata, semua ahli kelab terdiri daripada peminat kucing yang simpati dengan nasib haiwan berkenaan yang terbiar dan mengalami kecederaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *