Tujuh rumah rosak dibadai angin kencang

Tujuh rumah rosak dibadai angin kencang

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Tujuh rumah di lorong 27 dan 28 perumahan Sungai Isap Perdana, di sini, rosak bahagian atap selepas diterbangkan angin kencang, semalam.

  Mangsa Asiah Harun, 62, berkata, angin bertiup kencang dalam masa beberapa minit sahaja sehingga menerbangkan atap rumahnya bersama enam rumah jiran.

  Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira 1.45 petang semalam begitu pantas dan tidak diduga oleh penduduk kawasan taman perumahan ini yang kebanyakannya sedang berehat.

  Katanya, sebelum ini kejadian angin kencang menerbangkan atap rumah pernah berlaku di kawasan ini namun tidak membabitkan jumlah yang banyak berbanding kali ini. Kejadian semalam hanya membabitkan rumah di lorong 27 dan 28.

  “Saya terpaksa mengeluarkan belanja lebih RM1,500 untuk membeli atap asbestos dan mengupah tukang. Kerja membaiki hanya dapat dilakukan hari ini oleh dua tukang rumah.

  “Ini kejadian kali pertama saya alami dan menganggap ia sebagai ujian Yang Maha Esa, saya reda dan yakin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku,” katanya yang terpaksa mengeluarkan wang simpanan untuk membaiki kerosakan rumahnya.

  Beliau berkata demikian selepas menerima bantuan bencana daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu (MUIP) yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman (kiri) menyampaikan bantuan bencana kepada Asiah Harun selepas kejadian angin kencang di Sungai Isap Perdana, Kuantan, semalam.

  Bantuan keperluan asas turut diberikan kepada mangsa oleh Pejabat Menteri Besar Pahang.

  Bagi Solah Abdul Rahman, 60, dia kerugian lebih RM1,800 apabila beberapa atap asbestos diterbangkan angin kencang yang berlaku dalam masa begitu cepat.

  “Ketika kejadian saya dan ahli keluarga lain tiada di rumah. Kami semua keluar bekerja. Jiran menghubungi bagi memaklumkan apa yang berlaku.

  “Saya reda dengan apa yang berlaku dan menganggap itu adalah ujian bagi menguji keimanan semua mangsa,” katanya.

   Sementara itu, Dr Asmadi berkata, MUIP menyediakan bantuan bencana sebanyak RM300 pada setiap keluarga mangsa.

  “Bantuan berkenaan diharap dapat meringankan beban setiap mangsa yang berpendapatan rendah dan mereka memerlukan sokongan terutama ketika ditimpa ujian.

  “Saya berharap mereka yang menerima ujian dapat bersabar dan menerimanya dengan hati yang terbuka,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *