JPNP kerjasama GEC memulihara paya gambut Pahang Tenggara

JPNP kerjasama GEC memulihara paya gambut Pahang Tenggara

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan 

Global Environment Centre (GEC) dalam usaha memelihara dan memulihara kawasan hutan paya gambut Pahang Tenggara.

  Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, JPNP yang mewakili kerajaan Pahang berasa bertuah terutama apabila ada pihak yang tampil untuk bekerjasama dalam usaha memastikan kawasan hutan paya gambut di negeri ini dapat terus kekal.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Dato Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin (dua dari kanan) dan Pengarah Global Environment Centre (GEC) 
Faizal Parish Abdullah pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman  (MoU) Pemuliharaan Hutan Paya Gambut Pahang Tenggara.

  Menurutnya, kepakaran yang ada pada GEC menjadi kelebihan kepada JPNP untuk bekerjasama dalam memastikan khazanah hutan paya gambut di negeri tidak terus hilang tanpa sebarang usaha untuk mengekalkanya.

  “Saya difahamkan GEC sudah berada di negeri ini sejak beberapa tahun lalu melakukan pelbagai aktiviti di kawasan hutan paya gambut termasuk turut sama mendekati masyarakat Orang Asli yang menetap di kawasan terbabit.

  “GEC juga melakukan kajian terutama membabitkan kepentingan kawasan hutan paya gambut, usaha mengawal kejadian kebakaran dan sosial ekonomi,” katanya.

  Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pemuliharaan Hutan Paya Gambut Pahang antara Kerajaan Pahang yang diwakili JPNP dengan GEC di Pejabat Pembangunan Hutan Bukit Sekilau, di sini.

  GEC diwakili Pengarahnya, Faizal Parish Abdullah.

  Mohd Hizamri berkata, Pahang mempunyai hutan berkeluasan lebih 1.5 juta hektar yang turut membabitkan kawasan hutan paya gambut seluas kira-kira 126, 360.97 hektar.

  Tambahnya, pengurusan kawasan hutan paya gambut memerlukan strategi pengurusan yang berbeza dengan hutan darat berikutan kawasan hutan paya gambut berisiko tinggi kerana mudah terbakar.

  “Apabila kawasan hutan paya gambut terbakar dan tidak diuruskan dengan segera, maka akan membuka ruang kepada aktiviti pencerobohan haram dijadikan ladang kelapa sawit serta selain membina penempatan baharu.

  “Justeru itu, pengurusan hutan paya gambut pada masa ini bukan sahaja memerlukan strategi tertentu tetapi juga perlu dilaksanakan dengan cepat dan berkesan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *