Pemandu mabuk buat hal lagi

Pemandu mabuk buat hal lagi

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Malang nasib seorang pekerja kilang apabila motosikal ditunggangnya bukan saja dirempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu lelaki dipercayai mabuk dari arah belakang, malah motosikalnya diseret sejauh 1.5 kilometer dalam kejadian di Jalan Sungai Lembing berhampiran Taman Impian, dekat sini, awal pagi tadi.

Mohamad Noor melihat dua kenderaan terbabit dalam kemalangan itu selepas sidang media di IPD Kuantan, hari ini.

Insiden tragis itu menyebabkan Muhammad Akmal Hakim, 22, yang bekerja kilang di kawasan perindustrian Gebeng, dekat sini, maut di tempat kejadian akibat kecederaan pada bahagian kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1 pagi ketika mangsa dalam perjalanan dari arah pusat bandar menghala ke rumah keluarganya di Kampung Padang. 

“Kita percaya pemandu MPV itu memandu dengan laju sebelum merempuh motosikal ditunggangi mangsa menyebabkan mangsa terpelanting ke cermin hadapan kenderaan suspek. 

“Suspek berusia 26 tahun itu kemudiannya menyeret motosikal mangsa dan terus memandu sejauh kira-kira 1.5 kilometer sebelum berhenti di hadapan rumah ahli keluarganya,” katanya dalam sidang media di sini, petang tadi. 

Mohamad Noor berkata, susulan maklumat awam, pegawai penyiasat trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan berjaya menahan suspek yang juga seorang penganggur. 

“Hasil ujian kandungan alkohol suspek juga menunjukkan ia melebihi had yang dibenarkan ketika memandu.

“Suspek direman sehingga 4 Mac ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang sepuluh tahun dan denda tidak kurang daripada RM50,000 dan tidak lebih RM100,000,” katanya.

Menurutnya, bedah siasat mangsa akan dijalankan selepas keputusan ujian calitan COVID-19 diperoleh.

“Selain itu, semakan ke atas kenderaan dipandu suspek mendapati kenderaan itu mempunyai lima saman tertunggak membabitkan kesalahan memandu melebihi had laju,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu atau mempunyai maklumat supaya menghubungi polis untuk membantu siasatan. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *