Agong titah lebih ramai dermawan tampil bina rumah mangsa banjir

Agong titah lebih ramai dermawan tampil bina rumah mangsa banjir

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar/video Mustafa Kamal

TEMERLOH: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mahu lebih ramai daripada kalangan pihak swasta atau orang persendirian tampil membantu membiayai pembinaan rumah mangsa banjir terutama yang tinggal berhampiran Sungai Pahang.

Baginda turut bertitah supaya kediaman baharu mangsa banjir yang dibina selepas ini dinaikkan tiang tinggi supaya tidak terjejas musibah banjir.

“Saya harap rumah ini akan siap dalam masa ditetapkan iaitu 16 minggu dan semoga bantuan ini dapat meringankan sedikit beban kepada keluarga mangsa… mudah-mudahan, rumah ini tidak ditenggelami banjir.

“Tempat lain juga harus diperbanyakkan (pembinaan) rumah seperti ini dan saya harap ramai lagi pihak swasta atau persendirian tampil membantu mereka yang tinggal di tepi Sungai Pahang atau sungai lain yang selalu dilanda banjir,” titahnya. 

Baginda bertitah sedemikian ketika bercemar duli meninjau kerja-kerja pembinaan Rumah Bantuan Banjir milik Ramlah Hitam, 81, di Kampung Lompat di sini, selepas kediamannya sebelum ini musnah dalam bencana banjir yang berlaku awal tahun ini.

Kediaman Ramlah dan dua lagi penerima Rumah Bantuan Banjir di Kampung Sungai Dingin serta Kampung Pengkalan Manggis di sini, membabitkan kos pembinaan kira-kira RM100,000 dibangunkan hasil sumbangan Al-Sultan Abdullah untuk mangsa banjir yang terjejas teruk di daerah ini.

Turut mengiringi Baginda, KDYMM Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang, Ir Hafizah Zakaria.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *