MN kian subur di Pahang, kesepakatan UMNO-PAS resepi kestabilan kerajaan

MN kian subur di Pahang, kesepakatan UMNO-PAS resepi kestabilan kerajaan

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar arkib

KUANTAN: Persepakatan antara UMNO dan PAS dalam Muafakat Nasional (MN) adalah resepi terbaik bagi mewujudkan kerajaan yang stabil di negeri ini, baik sekarang mahupun pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, persepakatan itu bukan sahaja dituntut ahli kedua-dua parti, malah turut diterima baik oleh rakyat di negeri ini.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang berkata, situasi ini dapat dilihat di Pahang dan Perlis, dua negeri diterajui Barisan Nasional (BN) secara berterusan sejak 60 tahun lalu.

“Saya secara konsisten menyebut betapa MN adalah persepakatan terbaik demi menyaksikan kesinambungan dan kestabilan kerajaan negeri yang ada pimpinan UMNO/BN sekarang serta pasca PRU-15 kelak. 

“Sukacita saya mengulangi pendirian Badan Perhubungan UMNO Pahang bahawa kita terus komited dan konsisten mengukuhkan lagi kerjasama dengan PAS dalam MN di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas pertemuan kepemimpinan tertinggi MN Pahang malam tadi yang turut dihadiri Pesuruhjaya PAS negeri, Rosli Abdul Jabar dan Timbalannya, Andansura Rabu dengan diiringi Ketua Penerangan, Tarmizi Yahya; Setiausaha Badan Perhubungan; Hasanuddin Salleh dan Pengarah Pilihan raya, Hamdan Abdullah.  

Turut mengiringi Wan Rosdy, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Dato’ Sri Hassan Ariffin; Bendahari, Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak; Ketua Penerangan, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Setiausaha, Dato’ Sri Abdul Hamid Nazahar. 

“Ini pertemuan ke sekian kali diadakan antara kedua-dua barisan kepemimpinan parti. Pertemuan malam tadi turut membincangkan pelbagai perkara khususnya berkaitan gerak-atur kerja bersama bagi menghadapi PRU-15. 

“Dengan kekuatan yang ada pada BN negeri dipimpin UMNO dan diperkukuhkan lagi dengan penyertaan PAS dalam MN negeri, insya-Allah, perjuangan bersama kita menghadapi PRU-15 akan membuahkan hasil lebih daripada disasarkan,” kata Wan Rosdy.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *