Pahang terima penghantaran kedua 11,700 dos vaksin Pfizer-BioNTech hari ini

Pahang terima penghantaran kedua 11,700 dos vaksin Pfizer-BioNTech hari ini

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Sebanyak 11,700 dos lagi vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech diterima kerajaan negeri Pahang, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Dato’ Sri Norolazali Sulaiman berkata, vaksin itu ditempatkan di lima pusat penyimpanan vaksin di seluruh Pahang. 

“Sebanyak 4,680 dos ditempatkan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA); masing-masing 1,170 dos di Hospital Muadzam Shah, Rompin dan Hospital Bentong.

“Manakala Hospital Lipis dan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh pula menerima 2,340 dos. Semua dos tambahan tiba di pusat penyimpanan vaksin secara berperingkat mulai jam 1 petang tadi,” katanya. 

Menurutnya, proses pengagihan dos tambahan berkenaan akan dikendalikan Pusat Kesihatan Daerah untuk proses suntikan vaksin kepada penerima mengikut kategori ditetapkan dengan keutamaan diberikan kepada petugas barisan hadapan. 

“Dos tambahan vaksin COVID-19 diterima Kerajaan Pahang hari ini, adalah susulan penghantaran pertama fasa satu sebanyak 23,400 yang diterima 24 Februari lalu. 

“Secara keseluruhannya, kerajaan negeri dijadualkan menerima 64,350 dos vaksin COVID-19 melalui enam fasa penghantaran,” katanya. 

Untuk rekod, Pahang mempunyai lima pusat penyimpanan vaksin, 49 pusat pemberian vaksin dan 72 fasiliti pemberian vaksin di seluruh negeri. 

Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail sebelum ini menyatakan beliau berharap proses pemberian vaksin COVID-19 kepada seluruh rakyat Pahang dapat diselesaikan selewat-lewatnya Februari tahun depan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *