Seluruh negeri Pahang kini diisytihar kawasan larangan pembakaran terbuka

Seluruh negeri Pahang kini diisytihar kawasan larangan pembakaran terbuka

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

PUTRAJAYA: Pahang, Johor dan Selangor diisytiharkan sebagai kawasan larangan pembakaran terbuka berkuat kuasa serta-merta sehingga ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar Malaysia, Norlin Jaafar berkata, mana-mana individu yang didapati melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali serta kompaun maksimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan.

“Seperti diperuntukkan mengikut Seksyen 29AA(2) Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2001, dengan ini dimaklumkan kawasan di seluruh Pahang, Johor dan Selangor diisytiharkan sebagai kawasan larangan pembakaran terbuka berkuat kuasa serta-merta sehingga ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

“Berikutan pemberitahuan ini, semua pihak dilarang melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau diceroboh oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Sehubungan itu, orang ramai diminta bekerjasama untuk memadamkan kebakaran-kebakaran kecil dan juga melaporkan kes pembakaran terbuka kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di talian 999 dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau melalui eAduan di laman web https: //eaduan.doe.gov.my.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *