MUIP sumbang RM200,000 untuk bantu pelajar UIAM

MUIP sumbang RM200,000 untuk bantu pelajar UIAM

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyumbang  sebanyak RM200,000 kepada asnaf terdiri daripada pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan, di sini.

  Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, bantuan berkenaan diharap dapat meringankan beban golongan terbabit meneruskan pengajian dalam pelbagai jurusan.

  Menurutnya, MUIP simpati dengan masalah dihadapi pelajar terdiri daripada keluarga miskin, yang amat memerlukan bantuan serta sokongan dalam usaha mencapai kejayaan dalam bidang akademik yang seterusnya diharap dapat membela nasib keluarga suatu hari nanti.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman (kanan) menyerahkan replika cek kepada Pengarah Kampus UIAM kampus Kuantan, Prof Dr Kamaruzaman Yunus (dua dari kiri) pada majlis bantuan MUIP kepada UIAM kampus Kuantan.

  Katanya, sebelum ini MUIP menyediakan makanan percuma sebanyak tiga kali sehari selama 20 hari

kepada 200 pelajar UIAM kampus Kuantan yang berada di asrama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

  “Rekod Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ) mendapati kira-kira RM1 juta wang zakat dikeluarkan kakitangan UIAM kampus Kuantan terdiri daripada golongan profesional pelbagai bidang.

  “Justeru sebahagian wang zakat berkenaan MUIP serahkan semula kepada UIAM kampus Kuantan untuk diagihkan kepada asnaf terdiri daripada pelajar,” katanya.

  Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan replika cek bantuan MUIP kepada UIAM kampus Kuantan yang diwakili 

Pengarah Kampus UIAM kampus Kuantan, Prof Dr Kamaruzaman Yunus 

di Dewan UIAM kampus Kuantan, semalam.

  Hadir sama Timbalan Rektor, Penyelidikan dan Inovasi UIAM kampus Kuantan, Prof Dr Ahmad Hafiz Zulkifli.

  Dr Asmadi berkata, setiap tahun MUIP menyediakan bantuan pendidikan kepada pelajar di peringkat universiti serta kolej, geran penyelidikan juga turut diberikan kepada golongan penyelidik.

  “Saya berharap lebih ramai golongan profesional di universiti di negeri ini tampil membayar zakat kepada PKZ Pahang dan wang zakat berkenaan diagihkan kepada asnaf termasuk pelajar,” katanya.

  Sementara itu Dr Kamaruzaman berkata, MUIP sebelum ini banyak memberi bantuan kepada UIAM kampus Kuantan dalam membantu pelajar yang kurang berkemampuan termasuk menyediakan van jenazah.

  “Tidak lama lagi seramai 1,500 pelajar akan mendaftar di UIAM kampus Kuantan termasuk ada di kalangan mereka terdapat yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan.

  “Bantuan kewangan yang diberikan MUIP akan digunakan sepenuhnya untuk membantu pelajar selain aktiviti keagamaan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *