14 pelukis mural Kuantan Art Street teruja, karya jadi tarikan baharu di bandar raya Kuantan

14 pelukis mural Kuantan Art Street teruja, karya jadi tarikan baharu di bandar raya Kuantan

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Seramai 14 pelukis tempatan teruja apabila diberi tanggungjawab mengindahkan lorong belakang bangunan menghubungkan antara Jalan Mahkota dan Jalan Besar, di sini.

  Pada masa sama, lorong berkenaan yang dinamakan Kuantan Art Street kini menjadi tarikan baharu kepada pengunjung bandar raya Kuantan.

  Ketua kumpulan pelukis itu, Mohammad Amir Farouk berkata, sebanyak 34 lukisan mural dihasilkan membabitkan laluan 200 meter sebagai tarikan pelancongan sempena Kuantan dimasyhurkan sebagai bandar raya.

  Katanya, walaupun masih ada lukisan yang dihasilkan belum siap sepenuhnya, orang ramai boleh ke Kuantan Art Street untuk melihat dan bergambar.

  “Sebenarnya, projek ini bermula Disember tahun lalu dan memerlukan tempoh 10 minggu untuk disiapkan. Tetapi disebabkan faktor cuaca terutama musim tengkujuh, ia sedikit terlewat.

  “Sebaik projek ini selesai nanti, lorong ini akan menjadi daya tarikan kerana pengunjung bukan sahaja boleh bergambar dan berswafoto,malah melihat lukisan mural yang dihasilkan oleh pelukis tempatan yang berasal dari Kuantan,” katanya.

Seorang pelukis menyiapkan lukisan di Kuantan Art Street.

  Dalam perkembangan sama, Mohammad Amir Farouk berterima kasih kepada Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) khususnya Datuk Bandar,

Datuk Hamdan Hussin yang memberi sokongan kepada pelukis terutama anak tempatan Kuantan.

  “Pada masa sama, turut memberi idea untuk menghasilkan lukisan mural yang cantik dan ceria. Ia termasuk lukisan mural naga yang menjadi tarikan utama pengunjung,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *