Pahang cadang tambah dua unit RRP lagi di setiap kawasan DUN

Pahang cadang tambah dua unit RRP lagi di setiap kawasan DUN

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar/video Mustaffa Kamal

KUANTAN: Kerajaan Pahang sedang meneliti kemungkinan menambah pemberian Rumah Rakyat Pahang (RRP) sebanyak dua unit lagi bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), tahun ini. 

Mengikut perancangan asal, pemberian RRP tahun ini berjumlah 102 unit kediaman berbanding 98 unit tahun lalu. 

Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penambahan itu bagaimanapun bergantung kepada kemampuan kewangan negeri. 

“Saya sedang mengkaji dan melihat implikasi kewangan, pada masa sama melihat rumah yang sudah diluluskan sebelum ini tahun ini di mana setiap ADUN (Ahli DUN) diminta membina dua unit rumah di kawasan masing-masing.

“Sekiranya prestasinya baik, memberangsangkan dan tidak ada masalah, jika kedudukan kewangan mencukupi, kita akan tambah lagi dua unit sebab saya lihat data mereka yang memerlukan rumah di negeri ini agak ramai juga dan kerajaan negeri akan pertimbangkanlah,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyampaian Wang Ihsan Mangsa Banjir kepada kira-kira 1,000 ketua isi rumah (KIR) di Dewan Orang Ramai Kampung Ubai, dekat sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abd Rahim Muda dan ADUN Inderapura, Dato’ Sri Shafik Fauzan Sharif.

Dalam perkembangan lain, Wan Rosdy berkata, fasa pertama vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech sebanyak 32,000 di negeri ini sudah disempurnakan keseluruhannya.

“Sekarang ini kita sedang tunggu bekalan fasa kedua sebanyak 370,000 yang mana kita utamakan untuk warga emas berusia 60 tahun ke atas, seterusnya fasa ketiga sebanyak 700,000 kepada rakyat Pahang berusia 18 tahun ke atas.

“Sehubungan itu saya menyeru rakyat segera mendaftar dalam MySejahtera supaya kita dapat segera putuskan rantaian penularan COVID-19 ini dan memulihkan ekonomi seperti sediakala,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *