Tunggu bajet Kerajaan Pusat baiki hakisan pantai di Pahang

Tunggu bajet Kerajaan Pusat baiki hakisan pantai di Pahang

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar Mustaffa Kamal

KUANTAN: Kerajaan Pahang sedang menunggu kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan peruntukan bagi mengatasi masalah hakisan pantai yang berlaku di kawasan pesisir pantai di negeri ini. 

Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, permohonan rasmi sudah dikemukakan selepas berlaku kejadian hakisan pantai serius di Pahang. 

“Saya percaya perkara ini sedang diberi pertimbangan oleh mereka (Kerajaan Persekutuan). Ia mengambil masa kerana membabitkan kajian teliti dan agensi seperti JPS (Jabatan Pengairan Saliran) perlu melakukan tinjauan di lokasi dikenal pasti bagi memudahkan proses anggaran peruntukan diperlukan untuk kerja baik pulih kawasan berkenaan. 

“Walaupun kajian awal sudah dilakukan sebelum ini, tapi perlu kajian lebih teliti kerana ia membabitkan kawasan berisiko tinggi berlaku ancaman hakisan.

“Kawasan pesisir Pantai Sepat antara lokasi paling terjejas teruk akibat hakisan dan langkah awal sudah dilakukan dengan membina pemecah ombak bagi mengurangkan kesan hakisan terhadap pantai itu,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyampaian Wang Ihsan Mangsa Banjir kepada kira-kira 1,000 ketua isi rumah (KIR) di Dewan Orang Ramai Kampung Ubai, dekat sini, hari ini. 

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pahang, Dato’ Abd Rahim Muda; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura, Dato’ Sri Shafik Fauzan Sharif dan Pegawai Daerah Kuantan, Tengku Datuk Nor Asmaliza Ku Lah. 

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, secara keseluruhannya, sekitar 19,000 KIR seluruh negeri ini layak menerima wang ihsan sumbangan kerajaan Pahang membabitkan peruntukan sebanyak RM10 juta. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *