Dua tahun timba ilmu tanam cili di Australia

Dua tahun timba ilmu tanam cili di Australia

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: “Selama dua tahun saya bekerja dalam sektor pertanian di Australia dan pengalaman itu digunakan untuk saya mengusahakan

projek tanaman cili mengikut teknik fertigasi.

  “Gabungan pengalaman serta minat mencetuskan kejayaan diharapkan selepas lebih setahun bergelar petani moden,” kata Muhammad Firdaus Md Saman, 30.

  Menurutnya, tunjuk ajar  beberapa pekebun di Australia menjadi panduan untuknya mengusahakan tanaman sayur secara komersil yang mampu memberi pulangan menguntungkan.

  Katanya, selepas menamatkan perkhidamatan di negara asing dua tahun lalu tercetus idea untuk mengusahakan tanaman cili menggunakannya kaedah fertigasi di tanah seluas kira-kira 0.5 hektar milik keluarga di Felda Bukit Goh, di sini.

  “Berbekalkan modal wang simpanan sebanyak RM29,000 saya mula mengatur langkah berani untuk menjadi pekebun sayur sepenuh masa selepas tidak berminat lagi bekerja sebagai pemandu lori kontena.

  “Saya kini menanam sebanyak 2,000 pokok cili Sakata 461 yang mampu menghasilkan 400 hingga 700 kilogram buah seminggu dan harga pasaran semasa antara RM4 hingga RM16 sekilogram,” katanya.

  Tambahnya, selepas tiga musim sebagai pekebun cili sepenuh masa, pelbagai cabaran dan dugaan terpaksa tempuhi, namun berkat kesabaran dia mampu meraih pendapatan antara RM30,000 hingga RM40,000 semusim dalam tempoh enam bulan bergantung kepada harga semasa.

  Muhammad Firdaus berkata, peringkat awal pembabitan dalam bidang pertanian bukan mudah kerana cili yang ditanam memerlukan penjagaan secara berterusan bermula daripada peringkat menanam, menjaga termasuk menuai hasil.Tersilap langkah impian meraih keuntungan berlaku sebaliknya.

  Menurutnya, tanaman cili perlu perhatian sejak mula ditanam, penyakit dan serangga mudah menyerang tumbuhan berkenaan sekiranya tiada pengawalan yang akhirnya menyebabkan pokok tidak sihat seterusnya menyebabkan pengeluaran hasil terjejas sehingga 50 peratus.

  Katanya, dari semasa ke semasa dia belajar melalui media sosial dan rakan-rakan yang sudah lama menceburi bidang pertanian terutama tanaman cili mengikut teknik fertigasi.

  “Saya tidak pernah menyangka daripada seorang pemandu lori kontena yang sentiasa meninggalkan keluarga, saya kini bergelar petani moden sepenuh masa yang begitu menyeronokan terutama apabila mampu meraih pendapatan lumayan.

  “Saya akan terus berusaha membesarkan lagi projek pertanian yang dijalankan ini pada masa akan datang, manakala sokongan keluarga dan Jabatan Pertanian Daerah Kuantan seolah-olah menjadi pendorong untuk lebih berjaya,” katanya.

  Sementara itu, Pegawai Pertanian Daerah Kuantan, Amir Dzulfadli Samad berkata, pihaknya akan terus memantau projek tanaman cili yang diusahakan Muhammad Firdaus di Felda Bukit Goh.

  “Selain khidmat nasihat, bantuan peralatan dan barangan lain yang sesuai akan diberikan dalam memastikan kejayaan projek berkenaan terus diraih secara berterusan,” katanya yang berbangga dengan kesungguhan generasi kedua Felda itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *