Kerajaan Pahang mahu beli sendiri 10,000 dos vaksin tambahan untuk golongan tercicir

Kerajaan Pahang mahu beli sendiri 10,000 dos vaksin tambahan untuk golongan tercicir

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar/video Zulkepli Osman

MARAN: Kerajaan Pahang mahu membeli sebanyak 10,000 dos lagi vaksin COVID-19 sebagai tambahan kepada vaksin yang diperuntukkan untuk negeri ini sebelum ini.

Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, vaksin tambahan itu akan dibiayai sendiri kerajaan negeri, namun ia bergantung kepada kelulusan Kerajaan Persekutuan.

Katanya, vaksin tambahan itu akan diberikan kepada golongan ‘tercicir’ yang tidak berdaftar dengan MySejahtera contohnya orang gaji.  

“Untuk beli (vaksin) kita mesti melalui Kerajaan Pusat dan kalau mereka bagi (beri), kita belilah sebanyak 10,000 (dos) lagi. Kita tak boleh tempah ‘direct’ (terus) dari China atau Amerika (Syarikat).

“Kos pembelian kita belum pasti lagi, tapi kita akan ikut prosedurlah, minta Jabatan Kesihatan negeri bantu sebab nak beri suntikan nanti kena ada ilmu dan kita buat secara teratur,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Wang Ihsan Mangsa Banjir kepada lebih 2,000 ketua isi rumah (KIR) di Dewan Komuniti Kampung Jara, Kuala Sentul dekat sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenor, Mujibur Rahman Ishak; Pegawai Daerah Maran, Sharuddin Jali dan Kadi Daerah Maran Ustaz Nik Ibrahim Nik Abdullah.

Mengulas penyampaian wang ihsan, Wan Rosdy berkata, program itu dijangka selesai dalam minggu ini apabila 90 peratus KIR yang layak sudah menerima wang bantuan sebanyak RM500 yang disumbangkan kerajaan negeri. 

Secara keseluruhannya, lebih 18,000 KIR seluruh negeri ini layak menerima wang ihsan sumbangan kerajaan Pahang membabitkan peruntukan hampir RM10 juta.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *