Pahang berjaya lunas hutang lebih RM2 bilion dalam masa kurang tiga tahun

Pahang berjaya lunas hutang lebih RM2 bilion dalam masa kurang tiga tahun

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar/video Zulkepli Osman

TEMERLOH: Dalam tempoh tidak sampai tiga tahun, hutang Kerajaan Pahang berjaya dikurangkan daripada kira-kira RM3 bilion kepada RM970 juta sahaja setakat ini.

Lebih membanggakan, pencapaian memberangsangkan itu diperoleh tidak lama selepas kerajaan negeri berdepan detik sukar berikutan tidak bersama dengan Pakatan Harapan (PH) yang menerajui negara selama 22 bulan.  

Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, resepi kejayaan Kerajaan Pahang di bawah pentadbirannya dan barisan EXCO, adalah kerana kesepakatan serta tiada sebarang masalah dalaman.

“Kalau ada masalah dalaman, kita tak boleh fokus untuk bantu rakyat tapi alhamdulillah, di Pahang ini tak ada masalah dalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang (BPP 2021) dan  Bantuan One-Off Imam Kariah Negeri Pahang di Masjid Sultan Hj Ahmad Shah, Kampung Ketam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Pahang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang merangkap ADUN Lanchang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin dan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Dato’ Dr Zulkifle Ali Al-Hafiz. 

Seperti dijanjikan dalam Pembentangan Belanjawan 2021 Pahang, seramai 1,032 imam seluruh Pahang menerima bayaran one-off sebanyak RM750 seorang dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM774,000.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, hasil usaha keras semua pihak, Kerajaan Pahang mampu menjana kewangan kukuh seterusnya dapat membantu rakyat secara konsisten.

“Walaupun masa saya baru jadi Menteri Besar dulu kewangan negeri hanya mampu bayar gaji penjawat awam untuk dua bulan setengah sahaja tapi berkat kerjasama saya dan barisan EXCO, kemudiannya kita dapat beri bonus kepada mereka dan tahun lepas kita ada lebihan sebanyak RM126 juta yang dibawa ke tahun ini.

“Ini membolehkan kita bantu rakyat antaranya menerusi program Rumah Rakyat Pahang (RRP) dan bantuan banjir dan ia sudah dibuktikan. Apa yang penting, apa yang kita dapat, kita beri semula kepada rakyat, ini janji kerajaan negeri,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *