Ternak lebih 400 arnab pedaging dan hiasan

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: “Saya akan berusaha untuk membesarkan lagi projek ternakan arnab bagi memenuhi permintaan yang semakin bertambah.

  “Peminat daging arnab kini semakin bertambah untuk hidangan istimewa, selain turut dijadikan makanan kucing,” kata usahawan muda, Mahamad Farizar Mahamad, 36.

  Pengusaha projek ternakan arnab pedaging dan hiasan sejak empat tahun lalu berkata, dia menanam impian untuk membesarkan lagi projek ternakan arnab pedaging dan hiasan bagi memenuhi permintaan pengguna di daerah ini dan luar Pahang.

  Katanya, sambutan terhadap daging haiwan berkenaan kini begitu menggalakan sehingga dia tidak dapat memenuhi permintaan.

  Dia yang menetap di Kampung Seri Fajar, di sini berkata, bermula sebagai hobi dengan memiliki sembilan arnab, kini selepas empat tahun dia mempunyai lebih 400 arnab jenis pedaging dan hiasan  diternak dalam sangkar khas yang diimport dari luar negara.

Mahamad Farizar Mahamad menyediakan daging arnab segar di Kampung Seri Fajar, Kuantan.

  Mahamad Farizar berkata, permintaan daging arnab sentiasa bertambah sehingga dia tidak dapat memenuhi pesanan pelanggan tempatan dan luar Pahang, memandangkan setiap bulan ladang FM Agro Farm miliknya hanya mampu mengeluarkan kira-kira 200 kilogram (kg) arnab.

  “Saya mempunyai 200 pelanggan tetap yang memerlukan bekalan daging segar serta berempah dan masing-masing memerlukan antara lima hingga 20kg sebulan. Harga daging bertulang RM36 manakala RM47kg bagi daging tanpa tulang.

  “Saya kini terpaksa mendapatkan bekalan daging segar daripada beberapa pembekal lain bagi memenuhi permintaan pengguna,” katanya yang sebelum ini pernah berkhidmat dengan 

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

  Mahamad Farizar berkata, selain menjual daging segar dia juga membekalkan baka atau anak arnab berumur dua bulan dengan harga RM50 hingga RM100 seekor dan permintaannya sangat menggalakkan. Turut disediakan kursus menternak dan sembelihan serta penyediaan daging segar dan berempah.

  Katanya, dia mampu meraih pendapatan lebih RM3,000 sebulan hasil jualan daging, anak arnab dan induk.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *