Basikal roda tiga ibarat nyawa bagi Amiruddin

Basikal roda tiga ibarat nyawa bagi Amiruddin

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

PEKAN: Kecacatan fizikal  dialami selepas diserang demam panas sewaktu masih kecil dahulu menjadi lebih perit apabila dia kehilangan kaki kiri disebabkan kanser tulang serius, 27 tahun lalu.

Basikal roda tiga menjadi teman setia Amirudin Abdullah setiap hari untuk bergerak.

  Kini kehidupan Amirudin Abdullah, 49, yang menetap di Kampung Temai Tengah, dekat sini, bergantung sepenuhnya kepada basikal roda tiga pemberian rakannya untuk melakukan aktiviti di luar rumah.

  Menurutnya, basikal berkenaan menjadi nadi untuknya bergerak ke kedai dan menguruskan projek ternakan ayam kampung yang diusahakan secara kecil-kecilan sejak enam tahun lalu.

  “Basikal dan saya tidak mungkin dapat dipisahkan, walaupun berkarat dan semakin uzur, saya begitu selesa mengayuhnya setiap hari.

  “Saya menggunakan tangan kanan untuk mengayuhnya, sejak digunakan lebih 20 tahun lalu sudah dua kali rangka basikal patah dan banyak kali juga tayarnya bocor,” katanya yang memiliki kemahiran membaiki basikal roda dua.

  Dia yang pernah mengikuti latihan di Pusat Latihan Orang Cacat Cheras, Selangor berkata, kemahiran dalam bidang kimpalan dan membaiki basikal membolehkan dirinya membaiki sendiri kerosakan basikal miliknya dan penduduk kampung.

  Amirudin berkata, sebelum ini pihak Institut Kemahiran MARA Tan Sri Yahaya Ahmad, di sini, ada menyumbangkan basikal roda tiga kepadanya namun tidak dapat digunakan kerana ia agak berat untuk bergerak.

  Katanya, dia bercita-cita untuk membuka bengkel basikal satu hari nanti sekiranya ada pihak yang sudi membantunya. Kini dia membaiki basikal secara sambilan di rumah bagi membantu penduduk kampung.

 Menurutnya, walaupun serba kekurangan dia tetap perlu berdikari meneruskan kehidupan, walaupun anggota badan tidak sempurna namun itu bukan alasan untuk dia menyerah kalah dan tidak berusaha.

  “Walaupun menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan namun saya tetap perlu berusaha mencari pendapatan tambahan bagi membantu keluarga.

  “Saya perlu membantu keluarga kerana pengorbanan mereka sebelum ini perlu dibalas walaupun hanya sedikit,” kata anak ketiga daripada tujuh beradik itu.

  Amirudin berkata, hasil pendapatan ternakan ayam kampung juga agak memuaskan dan permintaan begitu menggalakan hingga tidak mencukupi. Pemborong membeli dengan harga RM8 sekilogram dan dalam setahun tiga hingga empat kali ayam dijual.

  Beliau berkata, selepas selesai mengikuti latihan selama dua tahun enam bulan dia ditawarkan bekerja di bengkel kimpalan di luar Pahang namun disebabkan beberapa faktor dia terpaksa menolaknya.

  “Cita-Cita utama saya kini ialah untuk membuka bengkel basikal bagi kemudahan penduduk kampung selain membesarkan projek ternakan ayam kampung yang permintaannya begitu menggalakkan.

  “Untuk berjaya dalam hidup saya perlu berdikari bagi membuktikan insan cacat tetap memiliki kelebihan dan keistimewaan,” katanya yang belajar sehingga tahun enam di Sekolah Kebangsaan (SK) Temai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *