Pahang terima penghantaran kedua vaksin Pfizer-BioNTech esok

Pahang terima penghantaran kedua vaksin Pfizer-BioNTech esok

Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Penghantaran kedua vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech bagi fasa satu di negeri ini dijangka tiba esok.

Difahamkan, fasa satu membabitkan enam penghantaran keseluruhannya .

Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penghantaran pertama sebanyak 23,400 dos ke lima pusat vaksin sudah selesai diberikan kepada petugas barisan hadapan di negeri ini.

“Penghantaran kedua dijangka tiba esok dan alhamdulillah, Pahang antara dua negeri terbaik menguruskan vaksin ini selain Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan majlis ringkas program sumbangan ‘one-off’ RM100 kepada murid tahun satu di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan menggerakkan Majlis Tindakan Sosial Pahang untuk ke tempat tumpuan ramai bagi menolong rakyat negeri ini mendaftar dengan MySejahtera untuk divaksinasi.

“Kita minta Majlis Tindakan Sosial Pahang pergi antara lain ke pekan sehari, masjid dan surau untuk menolong orang ramai mendftarkan diri dan mengisi borang dalam MySejahtera sebab kita tahu, masih ramai yang tak reti (tahu) berbuat demikian.

“Langkah ini boleh mempercepatkan sasaran 70 ke 80 peratus vaksinasi di negeri ini tercapai sekali gus membolehkan kita kembali dalam keadaan normal seperti sebelum penularan pandemik COVID-19,” katanya.

Beliau menambah, pihaknya menganggarkan perbelanjaan sebanyak RM2 juta sekiranya Kerajaan Persekutuan membenarkan permintaan kerajaan negeri untuk membeli 10,000 dos lagi vaksin COVID-19 sebagai tambahan kepada vaksin yang diperuntukkan untuk negeri ini sebelum ini.

“Niat kita baik dan kita dahpun kemukakan permintaan ini kepada Kerajaan Persekutuan dan harap mereka membenarkannya bagi mempercepatkan program vaksinasi diselesaikan di Pahang,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *