Penolong pegawai penyiasat polis dituduh terima rasuah

Penolong pegawai penyiasat polis dituduh terima rasuah

Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Seorang penolong pegawai penyiasat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana menerima suapan sebanyak RM2,000, September tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Ridhuan Kasah, 43, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan, dituduh melakukan kesalahan itu di dua lokasi berasingan pada 18 September dan 19 September 2020.

Mengikut fakta kes, bagi tuduhan pertama, pada 18 September 2020 jam 5 petang, tertuduh menerima RM1,000 daripada pengadu di bilik pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah IPD Pekan sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap pengadu.

Untuk tuduhan kedua pula, Mohd Ridhuan didakwa menerima RM1,000 daripada pengadu sama pada 19 September 2020 di Pekan Station 2, di bandar Pekan, kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Pendakwaan dilakukan pegawai pendakwa SPRM, Kamariah Seman manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Saifuldin Ab Rahman.

Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 untuk kedua-dua tuduhan dengan seorang penjamin.

Ahmad Zamzani juga memberikan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di IPD Pekan setiap hujung bulan, sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 31 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *