Mesin jahit penuhi impian remaja Orang Asli jadi tukang jahit profesional

Mesin jahit penuhi impian remaja Orang Asli jadi tukang jahit profesional

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

TEMERLOH: “Saya bersyukur dengan bantuan dua unit mesin jahit dan alat memotong kain yang diberikan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu (MUIP).

  “Pemberian berkenaan merupakan hadiah paling bererti diterima selepas saya memeluk Islam lima tahun lalu,” kata mualaf, Mohammad Firdaus Mat Lana, 27.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman (dua dari kiri) melihat Mohammad Firdaus Mat Lana mencuba mesin jahit yang disumbangkan MUIP.

  Menurutnya, kini impian untuk menjadi tukang jahit profesional dengan menghasilkan pelbagai jenis pakaian lelaki dan wanita seolah-olah semakin cerah walaupun dia memerlukan lebih  banyak latihan serta tunjuk ajar.

  Katanya, dia hanya mampu bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada MUIP yang memberi bantuan peralatan berkenaan bagi meneruskan cita-citanya bergelar usahawan suatu hari nanti.

  “Kursus jahitan yang diikuti dengan akademi pengajian tempatan sebelum ini menjadi lebih bererti dengan pemberian

alat memotong kain automatik

dan dua unit mesin jahit berkualiti tinggi oleh MUIP 

  “Saya seakan bermimpi apabila pegawai MUIP cawangan Temerloh datang ke rumah untuk memaklumkan pihaknya menyediakan bantuan  yang diperlukan,” katanya tinggal bersama keluarganya di Kampung Paya Sendayan, di sini.

  Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan  Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman yang menyampaikan 

sumbangan alat memotong kain automatik dan dua unit mesin jahit, semalam.

  Mohammad Firdaus berkata, berbekalkan mesih jahit separuh automatik sebelum ini, dia mengambil upah memotong, mengecilkan seluar atau baju serta menjahit pakaian koyak.

  “Saya memang meminati bidang fesyen dan disebabkan itu menyambung pengajian dalam kursus jahitan.

  “Saya akan lebih serius dalam bidang jahitan dan fesyen iaitu cabang yang saya gemari sejak kecil,” kata anak keenam daripada sembilan beradik itu.

  Sementara itu, Dr Asmadi berkata pihaknya menyediakan peruntukan RM5,000 untuk menyediakan alat memotong kain automatik dan dua unit mesin jahit berkualiti tinggi kepada Mohammad Firdaus yang begitu meminati bidang jahitan.

  Menurutnya, sebuah bengkel jahitan juga akan dibina berhampiran rumahnya bagi memudahkan beliau menjalankan aktiviti menjahit pakaian lelaki dan wanita.

  “Pegawai MUIP cawangan Temerloh akan datang setiap bulan bagi melihat perkembangan Mohammad Firdaus seterusnya mendapat maklumat semasa berkaitan aktiviti jahitan.

  “Saya difahamkan dia akan menerima tempahan jahitan pakaian dari Perak dengan jumlah yang banyak,” katanya yang berharap impian remaja berkenaan untuk menjadi tukang jahit terkenal suatu hari nanti menjadi kenyataan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *