Suka-suka hati saja bina kilang dalam Hutan Simpan Ibam

Suka-suka hati saja bina kilang dalam Hutan Simpan Ibam

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

MUADZAM SHAH: Tindakan membina kilang memproses peralatan kitar semula barangan elektronik tanpa kebenaran dalam Hutan Simpan Ibam, di sini, mengundang padah apabila diserbu dalam operasi bersepadu disertai tujuh agensi kerajaan, semalam.

 Dalam operasi bersepadu yang disertai Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Sisa Pepejal (JSP), Majlis Daerah Rompin (MDR), Pejabat Daerah dan Tanah Rompin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) turut merampas jentolak dan dua unit forklift.

Rumah api atau logi yang digunakan untuk melebur pelbagai jenis logam termasuk kaca dibina secara haram dalam Hutan Simpan Ibam.

  Pegawai Pejabat Hutan Daerah (PHD) Rompin, Shairani Mamat berkata, operasi bersepadu kali pertama tahun ini diketuai Pegawai Hutan Kanan, Mohd Yusof Othman turut menyita rumah api atau loji yang digunakan untuk melebur pelbagai jenis logam termasuk kaca.

  Menurutnya, rumah api berkenaan menggunakan arang batu sebagai bahan api dan hasil maklumat terdapat lebih 15 pekerja warga asing dari beberapa negara bekerja di kilang berkenaan dan kebanyakan mereka tinggal di kawasan kilang terbabit.

  Katanya, siasatan mendapati kilang kitar semula barangan elektronik itu menggunakan peralatan serta teknologi luar negara dan hampir semua produk yang dihasilkan untuk pasaran antarabangsa.

  “Kita memandang serius kesalahan dilakukan yang menjadikan kawasan kompartmen 159 Hutan Simpan Ibam sebagai lokasi mereka menjalankan kegiatan secara salah. Tindakan tegas akan dikenakan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 kerana menceroboh hutan simpan.

  “Agensi penguat kuasa lain turut akan mengambil tindakan tegas di bawah bidang kuasa masing-masing,” katanya, dihubungi di sini, semalam.

  Beliau menambah, jentera yang disita kini ditempatkan di pusat simpanan barangan rampasan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) di Pejabat Hutan Kemasul, Mentakab.

  Shairani berkata, ketika serbuan dilakukan semua pekerja tiada di situ. Mereka dipercayai terlebih dahulu meninggalkan kawasan berkenaan yang terletak tidak jauh dari jalan utama Kampung Aur-Bukit Ibam.

  Katanya, sebelum ini pengusaha kilang terbabit ada membuat permohonan Lesen Pendudukan Sementara atas tanah kerajaan daripada Pejabat Tanah dan Daerah Rompin, tetapi selepas siasatan dilakukan terbukti kilang berkenaan berada dalam Kompartmen 159 Hutan Simpan Ibam, iaitu bukan di atas tanah kerajaan.

  “JPNP sebelum ini hanya meluluskan permohonan permit jalan bagi tujuan mereka membina jalan sepanjang 12.5 meter ke tapak bengkel melalui Hutan Simpan Ibam.

  “Ini kali pertama pihak kami berhadapan kes membabitkan kilang kitar semula yang dibina dalam hutan simpan dan tindakan tegas menanti individu yang terbabit dengan kegiatan salah itu,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *