Bangkit dan berjaya selepas empat kali gagal

Bangkit dan berjaya selepas empat kali gagal

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

JERANTUT: Empat kali gagal yang menyebabkan kerugian lebih RM100,000 bukan penghalang kepada graduan diploma kewartawanan, Saifulnizam Sulaiman, 34, untuk terus menceburi bidang akuakultur secara komersil.

  Berkat tidak pernah berputus asa itu, dia kini muncul pengeluar utama benih ikan tilapia merah dan patin untuk bekalan penternak di daerah ini dan beberapa negeri lain.

  Dia mengusahakan pusat pembenihan dua spesies ikan air tawar itu di Kampung Bharu, Jalan Jerantut-Benta, di sini. Kini terdapat lapan kolam tanah, 15 tangki penetasan dan 16 kolam simen di kawasan seluas lebih dua hektar.

Saifulnizam Sulaiman menunjukkan sebahagian daripada 200,000 benih tilapia merah dan patin yang dihasilkannya setiap sebulan.

  “Saya memulakan projek pembenihan ikan 13 tahun lalu tanpa sebarang ilmu perikanan, hanya berbekalkan minat saya mengatur langkah dan akibatnya empat kali saya gagal dan rugi besar.

  “Selepas gagal saya mengambil keputusan untuk belajar bermula dari bawah dengan cara bekerja sambil belajar di beberapa pusat pembenihan terkemuka di negeri ini sambil mendapat nasihat Pusat Pengembangan Akuakultur (PPA) Perlok,” katanya, di sini.

  Beliau berkata, kini dia bersyukur apabila mampu mengeluarkan 150,000 hingga 200,000 benih tilapia merah dan patin sebulan bagi memenuhi permintaan penternak tempatan dan luar.


SaifulNizam Sulaiman dan isterinya, Nur Fatima Syuhada Abdullah kini berjaya menjadi pengeluar benih tilapia merah dan patin.

  Saifulnizam berkata, benih ikan yang mencapai usia satu hingga dua bulan dijual antara 20 hingga 30 sen seekor mengikut saiz dan penternak tempatan boleh datang sendiri melihat benih yang ingin dibeli.

  Katanya, dia sentiasa menjaga kualiti benih bagi memuaskan hati pelanggan, dan lebih menarik penternak berpeluang menerima benih baharu sekiranya ada kematian dengan jumlah yang banyak.

  Menurutnya, kejayaan dalam bidang akuakultur banyak dibantu isterinya, Nur Fatima Syuhada Abdullah, 34, yang sentiasa memberi sokongan moral dan kewangan terutama di peringkat awal pembabitan sebagai pengeluar benih ikan.

 “Kami bekerjasama sejak awal hingga kini, jatuh bangun dalam perniagaan akuakultur sama-sama dihadapi tanpa rasa jemu dan berputus asa.

  “Saya kini mempunyai tiga pekerja tetap yang menjalankan pelbagai tugas namun proses pembenihan tetap saya yang lakukan,” katanya yang berasal dari Negeri Sembilan.

  Saifulnizam berkata, dia kini mempunyai dua tan induk betina dan jantan ikan patin dan 800 ekor tilapia merah yang memiliki tahap kesuburan tinggi serta mampu menghasilkan benih sepanjang tahun.

  Katanya, bagi memenuhi permintaan benih tilapia merah dan patin yang terus bertambah, dia akan membuka satu lagi pusat pembenihan bulan depan terletak di Kampung Perlok, membabitkan kawasan seluas lebih satu hektar menggunakan sumber semula jadi bukit.

  “Sokongan kuat Jabatan Perikanan Pahang yang sentiasa memantau projek yang diusahakan menambahkan semangat untuk terus berjaya dalam bidang akuakultur di negara ini.

  “Selepas ini saya bercadang menghasilkan benih beberapa spesies lain seperti patin buah, kelah, lampam sungai dan temoleh,” katanya yang bercita-cita untuk menghasilkan lebih satu juta benih ikan setahun pada masa akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *