Kerajaan Pahang biaya pemeriksaan awal kanser payudara untuk 6,000 wanita

Kerajaan Pahang biaya pemeriksaan awal kanser payudara untuk 6,000 wanita

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar

LIPIS: Seramai 6,000 wanita di negeri ini yang berdaftar dengan program Cakna Suri bakal mendapat manfaat kesihatan berikutan kesediaan Kerajaan Pahang membiayai kos pemeriksaan awal kanser payudara dengan kos keseluruhan mencecah RM1.5 juta bagi tahun ini.

Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, mereka yang layak akan menjalani pemeriksaan itu di pusat mamogram yang dilantik Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

“Di Pahang, kita ada tiga pusat mamogram sedang beroperasi iaitu di Pahang Medical Centre (PMC), IIUM Medical Centre dan Darul Makmur Medical Centre (DMMC) dengan kos pemeriksaan untuk seorang adalah sebanyak RM150 yang dibiayai kerajaan negeri.

“Saya dimaklumkan, Majlis Pembangunan Wanita Negeri Pahang (MPWP) akan mengenal pasti mereka yang memenuhi syarat kelayakan untuk berdaftar dan pastinya kerajaan negeri akan memberi peluang kepada wanita golongan B40 untuk menerima manfaat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama ketika merasmikan Majlis Pelancaran Program Cakna Diri dan Jelajah Peduli Keluarga Negeri Pahang di Laman Sejahtera Jelai, Sungai Koyan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, penemuan utama dalam Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019 yang dikeluarkan Institut Kesihatan Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati tiga daripada empat wanita berusia 40 tahun dan ke atas tidak pernah menjalani saringan mamogram.

Tambahnya, Kelantan dan Pahang adalah dua negeri yang mempunyai kadar pengambilan saringan mamogram yang terendah iaitu masing-masing tujuh dan 11 peratus.

“Berdasarkan statistik LPPKN Pahang sejak 2017 hingga September tahun lalu, seramai 7,187 wanita mendaftar dan 6019 atau 83.7 peratus sudah menjalani ujian mamogram.

“Daripada jumlah ini, seramai 202 wanita yang didapati mempunyai keabnormalan BIRADS (Sistem Laporan dan Data Pengimejan Payudara) 3-5 dan 43 wanita disahkan positif kanser payudara ini tidak termasuk data daripada KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) yang setiap hari menerima kes baharu berkaitan kanser payudara.

“Kerajaan negeri sentiasa mementingkan kesejahteraan wanita di Pahang terutama membabitkan aspek penjagaan kesihatan kerana golongan itu adalah tonggak dalam setiap keluarga,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *