MB hadiahkan premis baru untuk peniaga kecil di RTP Sungai Ular

MB hadiahkan premis baru untuk peniaga kecil di RTP Sungai Ular

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUALA LIPIS: Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) mengambil inisiatif menyediakan premis perniagaan baharu dan selesa kepada peniaga kecil dengan kos hampir mencecah RM500,000 di Rancangan Tanah Pemuda (RTP) Sungai Ular, di sini.

   Bangunan kedai empat pintu itu mula dibina pada Julai 2019 dan siap sepenuhnya pada 30 Disember 2019 sebelum diserahkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) RTP Sungai Ular yang menguruskan urusan penyewaan kepada usahawan tempatan. 

   Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, langkah diambil PKPP dapat membantu peniaga kecil untuk memajukan perniagaan dan meningkatkan pendapatan mereka selain memberi peluang kepada usahawan baharu memulakan perniagaan.

   “Bangunan kedai ini disewakan kepada mereka yang berminat dengan kadar sewa relatif murah berbanding kadar sewa semasa.

   “Kutipan daripada sewaan ini pula menjadi dana tambahan kepada JKKK RTP Sungai Ular ini,” katanya.

   Beliau berkata demikian sebelum menyempurnakan Majlis Penyerahan Kedai Biayaan PKPP RTP Sungai Ular, di sini, hari ini.

  Untuk rekod, RTP Sungai Ular adalah kawasan penempatan ditadbir PKPP sejak 1971.

   “Penempatan ini lengkap dengan pelbagai kemudahan asas antaranya jalan, bekalan air, elektrik, masjid, balai raya, dewan dan pusat Internet, namun tiada bangunan kedai didirikan secara sistematik dan tersusun.

  “Oleh itu, ada di antara peserta RTP ini yang mendirikan sendiri kedai dan ada yang berniaga di kawasan rumah sahaja tetapi sekarang, mereka boleh sewa kedai pada kadar murah,” kata Wan Rosdy menambah, jumlah kedai mungkin ditambah pada masa depan sekiranya terdapat keperluan.

  Empat usahawan terpilih menyewa bangunan kedai itu ialah Asfadilah Abdul Rahim yang berniaga kedai makan dan perkhidmatan; Abdul Manaf Hussain (kedai runcit); Azman Abdullah (barang elektrik dan pendingin hawa) serta Mohd Hafizan Abdul Manaf (bengkel motosikal).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *