Mangsa pertama tragedi Kampung Loyang ditemui tidak bernyawa

Mangsa pertama tragedi Kampung Loyang ditemui tidak bernyawa

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar ihsan JBPM

TEMERLOH: Seorang daripada dua mangsa yang dilaporkan hanyut dibawa arus Sungai Pahang, dekat Kampung Loyang, Sanggang, di sini semalam, ditemui tidak bernyawa oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

  Mangsa, Muhammad Naufal Farhan Azrul, 8, ditemui 35 meter dari tempat dia dipercayai lemas.

  Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) untuk tindakan lanjut.   

  “Operasi masih diteruskan untuk mencari seorang lagi mangsa (Mohd Hakim Faqih Norazmi,16) menggunakan teknik selaman dan ‘surface rescue’ membabitkan bot mencari mangsa di permukaan air sungai sejauh dua kilometer (km) dari lokasi mangsa dipercayai lemas,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

  Dalam kejadian jam 4.50 petang semalam, seorang remaja dan anak saudaranya dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus sungai ketika mandi di Sungai Pahang dekat Kampung Loyang.

  Mangsa dikenali Mohd Hakim Faqih Norazmi,16, dari Kampung Desa Murni dan Mohammad Naufal Farhan Mohd Azrul, 8, dari Kampung Loyang dikatakan pergi ke sungai itu untuk mandi bersama tiga ahli keluarga lain kira-kira jam 4 petang.

  Difahamkan, Mohd Hakim cuba menyelamatkan anak saudaranya namun dia turut dihanyutkan arus sungai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *