Bukan meninggal dunia sebab vaksin COVID-19 la…

Bukan meninggal dunia sebab vaksin COVID-19 la…

Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Desas-desus kononnya seorang pegawai bomba meninggal dunia akibat pengambilan vaksin COVID-19 minggu lalu adalah tidak benar, sebaliknya arwah mengalami serangan jantung.
Perkara itu disahkan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) sekali gus menafikan kontroversi yang tersebar di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Pengarah JKNP, Dato’ Dr Bahari Tok Muda Che Awang Ngah berkata, Allahyarham mempunyai sejarah penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.
Katanya, Allahyarham pernah menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) pada Julai 2020 kerana masalah jantung dan pakar mencadangkan supaya beliau menjalani pembedahan.
“Pada 14 Mac 2021, Allahyarham telah ke Hospital Raub kerana mengalami gejala serangan jantung. Beliau dirawat sewajarnya dengan alat bantuan pernafasan lalu dirujuk ke hospital berpakar.
“Di Hospital Kuala Lipis, beliau dirawat di Unit Rawatan Rapi, bagaimanapun keadaannya semakin tenat dan meninggal dunia pada 16 Mac 2021. Pakar mengesahkan penyebab kematian adalah akibat serangan jantung,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan maklumat tidak tepat dan tidak sahih bagi mengelakkan salah tanggapan masyarakat terhadap vaksin COVID-19.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *