Dollah tabik pemain

Dollah tabik pemain

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Dollah Salleh berbangga dengan prestasi yang dipersembahkan pemain Sri Pahang FC apabila menewaskan Sabah FC 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, malam tadi.

  Pengurus pasukan itu berkata, kejayaan itu menyaksikan Sri Pahang itu mencatat kemenangan pertama dalam saingan liga berkenaan.

Pemain Sri Pahang FC, Lee Tuck (depan, kiri) diraikan selepas menjaringkan gol kedua ketika menentang Sabah FC di Stadium Darul Makmur malam tadi. Gambar ihsan Sri Pahang

  Katanya, tiga mata yang diraih itu juga memberi suntikan semangat buat pemain untuk bermain dengan lebih baik pada perlawanan akan datang.

  “Sudah pasti saya lega apabila misi tiga mata berjaya dicapai, sekali gus menamatkan kekecewaan tewas dua dan seri satu perlawanan sebelum ini.

  “Kemenangan ini juga memperlihatkan bahawa jentera serangan lebih baik berbanding tiga perlawanan lalu,” katanya.

Penjaga gol  Sri Pahang FC, Zarif Irfan Hashimuddin berjaya menangkap bola selepas diasak pemain Sabah FC di Stadium Darul Makmur malam tadi. Gambar ihsan Sri Pahang

   Mengulas lanjut perlawanan itu, beliau bersyukur pasukannya  mengutip tiga mata dan banyak perubahan yang berlaku untuk tampil lebih bagus.

  “Mungkin pada perlawanan sebelum ini tiada keserasian dan masih tercari-cari rentak yang menyebabkan pemain gagal mempamerkan prestasi yang diharapkan.

   “Bagaimanapun, ia belum lagi mencapai tahap yang saya inginkan tetapi berpuas hati kerana pemain memberikan segalanya pada perlawanan ini (malam tadi),” katanya.

  Pada perlawanan itu, dua gol Pahang, masing-masing satu dijaringkan oleh Yevhen Bokhashvilli dan Lee Tuck pada minit ke-55 dan 70 manakala gol tunggal Sabah dijaringkan Saddil Ramdani minit ke-80.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *