Lombong Bitcoin sedut RM5.5 juta hasil TNB Pahang

Lombong Bitcoin sedut RM5.5 juta hasil TNB Pahang

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar/video Mustaffa Kamal

KUANTAN: Tenaga Nasional Bhd (TNB) mengalami kerugian sebanyak RM5.5 juta sejak 2018 akibat perlombongan Bitcoin secara haram di negeri ini.

  Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, aktiviti sindiket yang membuat penyambungan elektrik secara haram ke premis mereka beroperasi mengakibatkan TNB mengalami kerugian besar setiap tahun.

  “Saya tidak ada data jumlah kerugian keseluruhan dialami TNB akibat (perlombongan) Bitcoin ini tetapi kalau di Pahang, kerugian sebanyak RM5.5 juta dicatatkan akibat kegiatan ini sejak 2018.

  “Kita sentiasa bekerjasama dengan PDRM (Polis Diraja Malaysia) bagi menangani kegiatan sindiket ini dan menyerahkan sepenuhnya kepada mereka (PDRM) untuk menyiasat dan mendakwa kumpulan (sindiket) melombong Bitcoin terbabit,” katanya.

  Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Ceria ke Sekolah (CKS) bagi negeri Pahang di sini, hari ini.

KUANTAN 18 MAC 2021. Menteri Besar Pahang, Dato Sri Wan Rosdy Wan Ismail (tengah) merasmikan Program Ceria ke Sekolah TNB Tahun 2021 di Hotel Grand Darul Makmur. Hadir sama Pengerusi TNB, Dato’ Seri Mahdzir Khalid (kanan) dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, Dato Sri Mohd Shakar Shamsudin. FIKRAH PAHANG/Mustaffa Kamal

  Program yang dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail itu turut dihadiri barisan EXCO Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang dan Pengurus Besar TNB Pahang, Dato’ Baderul Sham Saad.

  Menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) berkenaan, TNB  memberi sumbangan kepada 2,200 pelajar daripada golongan B40 di seluruh Pahang membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM220,000.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *