Korek parit 2,000 meter halang api merebak

Oleh Mohd Imran Izzad  fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

ROMPIN: Pejabat Hutan Daerah (PHD) Rompin membina parit sepanjang 2,000 meter sebagai usaha menghalang api daripada terus merebak dalam kawasan Hutan Simpan Menchali, di sini.

  Pegawai PHD Rompin, Shairani Mamat berkata, kebakaran Hutan Simpan Menchali berlaku sejak minggu lalu yang menyebabkan kemusnahan kawasan paya gambut lebih 16 hektar.

Anggota Bomba dan Penyelamat berusaha memadam kebakaran yang berlaku di Hutan Simpan Menchali.

  Menurutnya, dalam operasi mengawal kebakaran, seramai 15 kakitangan PHD Rompin dan Pejabat Ladang Hutan Kemasul, Mentakab, terbabit membantu anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang bertungkus-lumus memadam api.

  Katanya, kali terakhir Hutan Simpan Menchali terbakar tiga tahun lalu di mana cuaca panas menjadi faktor utama kawasan paya gambut berkenaan mudah terbakar sehingga menyebabkan banyak pokok mati.

Parit sepanjang 2,000 meter dikorek bagi mengawal kebakaran yang berlaku di Hutan Simpan Menchali.

  “Usaha memadam kebakaran di kawasan paya gambut Hutan Simpan Menchali berhadapan kesukaran disebabkan terdapat banyak pokok mati yang akan tumbang apabila terbakar.

  “Kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa disangka, justeru aktiviti memadam api oleh anggota JBPM perlu sentiasa berhati-hati bagi mengelak ditimpa pokok tumbang,” katanya, di sini semalam.

  Beliau menambah, parit yang dibina menggunakan jengkaut diharap dapat mengawal kebakaran yang mungkin berlaku selepas ini terutama setiap kali musim panas dan kemarau.

  Shairani berkata, pihaknya merayu kepada masyarakat supaya dapat bekerjasama memastikan kejadian kebakaran kawasan hutan paya gambut di daerah ini tidak terus  berlaku sehingga memusnahkan banyak pokok balak pelbagai spesies.

  “Setiap kali kebakaran kawasan paya gambut berlaku usaha memadam api menghadapi kesukaran. Selain bekalan sumber air yang terhad, keselamatan anggota JBPM dan kakitangan yang terbabit juga perlu diberi keutamaan.

  “Daerah ini terkenal dengan kawasan hutan paya gambut yang luas, pencegahan kebakaran peringkat awal sentiasa dilakukan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) yang menubuhkan pasukan bomba dengan pelbagai peralatan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *