Lee Tuck ‘ayam tambatan’ Dollah

Lee Tuck ‘ayam tambatan’ Dollah

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Pengurus Sri Pahang FC, Dollah Salleh berbangga dengan prestasi yang dipersembahkan pemain import, Lee Tuck ketika pasukan itu mencatat kemenangan 2-1 ke atas Sabah, Selasa lalu.

  Bekas pemain kebangsaan itu berkata, Lee Tuck sudah membuktikan kemampuan sebenarnya apabila membantu pasukan mengutip tiga mata dalam saingan Liga Super musim ini.

  Katanya, pada dua perlawanan ketika berdepan Selangor FC dan Perak FC lalu, pemain import itu gagal menyerlah walaupun berusaha bangkit pada aksi berdepan Melaka United.

  “Bagaimanapun, Lee Tuck membuktikan prestasi terbaik ketika membantu pasukan mencatat kemenangan pertama ke atas Sabah.

  “Saya sangat berpuas hati selepas dua perlawanan beliau agak terumbang ambing prestasinya,” kata Dollah yang kini memangku tugas selaku ketua jurulatih pasukan.

  Mengulas perubahan posisi pemain pertahanan import, Herold Goulon, Dollah berkata, keputusan itu untuk memastikan jentera pertahanan di bahagian tengah lebih kental.

  Katanya, pada tiga perlawanan lalu, bahagian tengah dilihat begitu longgar dan perubahan yang dilakukan dilihat menjadi.

  “Goulon tidak berhadapan masalah dengan posisi baharunya itu dan saya percaya bukan sahaja Goulon, malah semua pemain akan memberikan yang terbaik buat pasukan,” katanya.

  Selepas empat perlawanan, Sri Pahang menduduki kedudukan kesembilan liga dengan mengutip empat mata, masing-masing satu kemenangan, satu seri dan dua kekalahan.

  Ahad ini, pasukan itu akan bertandang ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) apabila berdepan PJ City FC.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *