Semua majlis ilmu boleh diadakan di masjid dan surau di seluruh Pahang mulai hari ini

Semua majlis ilmu boleh diadakan di masjid dan surau di seluruh Pahang mulai hari ini

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Mulai hari ini, semua masjid dan surau di seluruh Pahang boleh menganjurkan semula kuliah dan majlis ilmu.

  Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kelonggaran berkenaan sudah mendapat perkenan KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Al-Mustafa Billah Shah.

  Katanya, kelonggaran itu bergantung kepada keadaan semasa penularan COVID-19.

  “Sebelum ini, kuliah Maghrib dan tazkirah Subuh sahaja dibenarkan tetapi kini dibenar dan diperluaskan meliputi kuliah dhuha, kuliah sebelum solat Jumaat, kelas al-Quran dan fardhu ain, kelas tafaqquh fid-din anjuran Yayasan Pahang (YP) dengan kerjasama JAIP (Jabatan Agama Islam Pahang) dan bacaan Yasin serta tahlil.

  “Jamuan selepas kuliah dan majlis ilmu ini juga kini dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

  Menurutnya, had umur bagi mengerjakan solat Jumaat dan fardhu pula dibolehkan untuk kanak-kanak berusia tujuh tahun dan ke atas berbanding 12 tahun ke atas sahaja sebelum ini.

  “Kehadiran pada majlis akad nikah di masjid berdasarkan ruang ditetapkan turut dibenarkan berbanding sebelum ini yang hanya membolehkan had  kehadiran 20 orang.

  “Pun begitu, beberapa perkara lain berkaitan SOP (prosedur operasi standard) sedia ada antaranya pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan membawa sejadah sendiri, perlu diteruskan.

  “Semoga dengan kelonggaran yang diberi dan dinyatakan ini, kita semua dapat kembali beribadah dengan lebih selesa, seterusnya mengimarahkan masjid dan surau di negeri ini, insya-Allah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *