Empat pemaju perumahan mungkir: MB

Empat pemaju perumahan mungkir: MB

Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
Gambar/video Zulkepli Osman

KUANTAN: Akibat tidak memajukan tanah dibeli di negeri ini, empat syarikat pemaju perumahan ternama menerima pengajaran setimpal apabila permohonan mereka untuk membeli tanah baharu tidak dilayan lagi.
Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Pahang memutuskan untuk mengambil langkah itu berikutan perbuatan syarikat terbabit merugikan banyak pihak.

Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail bergambar selepas menyerahkan kunci rumah di Majlis Penyerahan Kunci Rumah PR1MA Pahang di Taman Perumahan Makmur, Gambang Jaya 2. Gambar Fikrah Pahang/ Zulkepli Osman


Katanya, syarikat-syarikat terbabit awalnya mengemukakan permohonan untuk membeli tanah untuk projek perumahan, namun selepas beberapa lama, tiada sebarang kerja pembangunan dilakukan.
“Kita kesal dengan syarikat-syarikat ini kerana mendatangkan banyak masalah dan kerugian kepada kerajaan negeri dan pelbagai pihak lain.
“Setakat ini terdapat tiga atau empat syarikat pemaju yang tidak menjalankan kerja pembangunan di atas tanah yang mereka beli dan atas sebab itu, kita putuskan untuk tidak menjual atau menawarkan tanah baharu kepada mereka, selagi mereka tidak memajukan terlebih dahulu tanah yang dibeli sebelum ini,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Projek PR1MA Pahang di Perumahan Makmur Gambang Jaya 2, di sini, hari ini.
Projek berkenaan dibangunkan syarikat pemaju Connection Ventures Sdn Bhd dan diluluskan pada tahun 2013 serta merangkumi dua fasa.

Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail memotong riben sebelum meninjau rumah yang akan diserahkan kepada pemiliknya di Majlis Penyerahan Kunci Rumah PR1MA Pahang di Taman Perumahan Makmur, Gambang Jaya 2. Gambar Fikrah Pahang/ Zulkepli Osman


Sebanyak 203 unit dibangunkan dan dijual pada harga antara RM150,000 hingga RM200,000 seunit.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pahang, Dato’ Abd Rahim Muda; Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak dan Timbalan Menteri Kewangan II merangkap Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah.
Ketika ditanya jumlah projek PR1MA Pahang yang bermasalah, Wan Rosdy berkata, sebanyak 31 projek sudah dibatalkan disebabkan syarikat dipertanggungjawab melaksanakan projek terbabit didapati tidak berdaya maju.
“Keputusan menamatkan perkhidmatan syarikat kontraktor terbabit dibuat selepas mengadakan perbincangan dan mereka mengakui tidak mampu menyiapkan projek mengikut syarat serta tempoh ditetapkan.
“Semua projek ini kita akan lantik syarikat atau kontraktor yang baharu yang berminat bagi memastikan usaha kerajaan negeri menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat Pahang dapat dilaksanakan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *