Kekalkan momentum kemenangan: Dollah

Kekalkan momentum kemenangan: Dollah

Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
pic

KUANTAN: Sri Pahang FC berazam mengekalkan momentum kemenangan apabila berdepan PJ City FC di Stadium Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam esok.
Justeru, Pengurus pasukan, Dollah Salleh mahu anak buahnya memastikan kunjungan ke tempat lawan menghasilkan keputusan positif.
Katanya, kemenangan 2-1 ke atas Sabah FC Selasa lalu, seharusnya menjadi suntikan semangat dalam usaha mencatat kemenangan kedua.
“Sebaik mencatat kemenangan pertama, sudah pasti saya mengharapkan perlawanan seterusnya akan terus memihak kepada pasukan.
“Oleh itu, berdepan PJ City, mereka perlu mengekalkan fokus sepanjang tempoh 90 minit perlawanan dan memanfaatkan segala peluang yang ada,” katanya.
Mengulas prestasi penyerang import dari Ukraine, beliau mengharapkan Yevhen Bokhashvili dapat beraksi cemerlang di bahagian serangan.
Katanya, selepas berjaya menjaringkan gol pertama musim ini ketika menewaskan Sabah, sentuhan jaringan tetap ditagih pasukan itu.
“Saya gembira apabila beliau berjaya menemui sentuhan jaringan selepas gagal melakukannya dalam tiga perlawanan terdahulu.
“Biarpun belum mencapai tahap terbaik, saya percaya prestasi Bokhashvili akan meningkat pada setiap perlawanan selepas ini.
“Pada masa sama, saya harap semua pemain juga dapat memberikan segala-galanya untuk memastikan Sri Pahang beroleh kejayaan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *